Friday, October 9, 2009

Pembangunan Politik Islam

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Menerusi cetusan ide Wawasan 2020, ternyata hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan membangun begitu tinggi sekali. Berbagai-bagai perubahan telah, sedang dan akan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut.


Semua perubahan ini dalam istilah politik disebutkan sebagai pembangunan politik. Pembangunan politik adalah perubahan dan peningkatan dalam semua bidang kehidupan bernegara seperti pembangunan insan, pembangunan sosial, pembangunan fizikal, pembangunan ekonomi dan lain-lain pembangunan yang berkait rapat. Ini juga bertepatan dengan ide sarjana agong politik Islam, Imam Al-Ghazali yang mendefinisikan politik sebagai suatu kehidupan manusia. Setiap manusia yang berkecimpung dan memerlukan kepada masyarakat adalah ahli politik. Justeru itu, pembangunan politik amat berkait rapat dengan ahli politik itu sendiri yakni setiap individu dalam masyarakat.


Pembangunan politik bertujuan untuk menambahkan keaktifan dan kelicinan perjalanan sistem politik dan juga untuk menambahkan kecekapannya bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia. Pembangunan politik akan dapat menjamin keutuhan negara sekiranya turut disokong oleh pengaruh persekitaran seperti pengaruh ekonomi, sosial dan sebagainya. Ciri seperti ini amat bertepatan dengan pembangunan politik dalam Islam.


Pembangunan politik Islam meletakkan semua bentuk pembangunan adalah penting dan tidak terpisah antara satu sama lain. Semua bentuk pembangunan dalam politik perlu diberi penekanan. Ini bermakna pembangunan politik Islam tidak memisahkan antara pembangunan politik yang bersifat kebendaan dan pembangunan politik bersifat kerohanian. Pembangunan ini bermaksud bahawa sebarang perlaksanaan ke arah memantapkan pembangunan pentadbiran negara harus juga mengambil kira kekuatan dalaman dan luaran setiap individu politik. Justeru itu, untuk menjadi sebuah negara yang maju, pembangunan politik hendaklah dibuat secara menyeluruh dan komprehensif.


Pembangunan yang hanya menekankan satu aspek sahaja seperti pembangunan politik kebendaan akan melahirkan juga individu politik cenderung ke arah itu. Akibat daripada pembangunan yang tidak seimbang ini juga sudah pasti akan lahirlah masyarakat yang tidak seimbang juga.


Keadaan ini rata-rata berlaku dalam dunia barat. Pembangunan politik yang diwujudkan hanya menumpukan kepada pembangunan politik yang bersifat material semata-mata. Pembangunan politik dari aspek kerohanian manusia itu sendiri diabaikan. Justeru, ia telah menyebabkan lahirnya pembangunan yang tidak seimbang. Memang tidak dinafikan bahawa negara barat berjaya menjadi sebuah negara maju, tetapi dalam masa yang sama mereka mengalami masalah keruntuhan moral dan akhlak yang mendukacitakan. Apakah bentuk pembangunan politik sebegini yang kita mahukan?


Dengan sebab itu, dalam pembangunan politik Islam, ia mestilah dijalankan secara menyeluruh untuk melahirkan masyarakat yang berjiwa kental dan sanggup menghadapi segala cabaran zaman berteknologi canggih. Islam ternyata telah membuktikannya melalui sejarah peradaban Islam yang lampau.


Kenyataan ini diakui oleh seorang sarjana bukan Islam, Donald E. Smith, dalam bukunya Religion dan Political Development. Menurutnya:

"Ciri-ciri dasar Islam adalah sangat jelas. Takwim Islam mencatatkan sejarah pembangunan politik, iaitu dengan tertubuhnya masyarakat Islam di Madinah...Islam tidak pernah kekurangan inspirasi dan perspektif asas untuk membangunkan sesuatu ideologi perubahan sosial. Menurut ajaran Islam, suatu perkara yang tidak disangsikan: bahawa Tuhan turut terlibat dalam sejarah manusia..."


Ketika Rasulullah s.a.w. membangunkan negara Madinah, kedua-dua aspek tersebut tidak pernah diabaikan. Ini dikuti dengan pemerintahan khulafa al-Rasyidin dan seterusnya sehingga ke zaman Othmaniyyah telah menunjukkan suatu pembangunan politik yang begitu mantap. Mereka bukan hanya berjaya melahirkan pakar-pakar dan saintis-saintis malahan juga individu yang dilahirkan juga dalam individu yang berkualiti sama ada dalam aspek spiritual mahupun fizikal. Pembangunan sebegini telah menjadi negara-negara tersebut mencapai kegemilangan. Ini merupakan salah satu faktor kenapa negara Islam ketika itu begitu disegani oleh negara-negara lain dan juga pihak musuh.


Profesor falsafah yang terkemuka dari Universiti Harvard, Hocking yang telah menulis pada setengah abad yang lalu juga mengakui akan hakikat ini. Menurutnya:

"Islam mempunyai dorongan dalaman bagi pertumbuhan jika dibandingkan dengan agama atau sistem lain. Secara keseluruhan, Islam lebih bersedia untuk menghadapi perubahan jika dibandingkan dengan agama lain; namun kesukaran yang Islam hadapi bukanlah cara untuk berkembang, tetapi kekurangan kecenderungan"


Kekurangan kecenderungan yang dimaksudkan di sini adalah berpunca dari kelemahan umat Islam sendiri. Mereka mempunyai kekuatan fizikal dan spiritual yang amat ketara, tetapi disebabkan oleh kelalaian dan perpecahan sesama sendiri menyebabkan pembangunan politik tidak dapat berjalan dengan menyeluruh. Umat Islam tidak lagi boleh duduk semeja untuk membincangkan bagaimana untuk merangka pembangunan politik yang intensif dan progresif. Kepakaran yang ada terabai, sumber-sumber semulajadi tidak dapat digunakan sepenuhnya.


Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu kembali kepada prinsip asal agama Islam itu sendiri. Ini juga dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika mula-mula menyebarkan ajaran Islam. Apabila kekuatan aqidah dalam pembangunan politik telah mantap maka tidak timbul masalah untuk mengimplementasikan pembangunan politik yang lain.


Menurut seorang ulamak, Mustafa Masyhur pembangunan politik kepada manusia itu sendiri jauh lebih penting dan lebih utama daripada pembangunan yang lain. Iman merupakan akar kepada perubahan pada diri seseorang, keluarga dan masyarakat.


Ini diakui oleh As-Syahid Hassan Al-Banna yang mengatakan bahawa mengenal Allah merupakan kekuatan yang memimpin kepada perubahan dan yang memindahkan seseorang atau kumpulan dari suatu keadaan kepada keadaan yang lain. Iman pada hakikatnya merupakan asas kehidupan sejati bagi manusia. Berbekalkan iman manusia akan dapat membeza antara hak dan batil.


Di masa yang sama terdapat sekelompok masyarakat memiliki pandangan yang ekstrim yang mengatakan bahawa Islam menolak pembinaan jalan raya, mendirikan dan membangunkan tempat rekreasi, membuat saluran pengairan, membangunkan poliklinik, rumah sakit dan sebagainya. Semua bentuk pembangunan tersebut adalah penting, sangat di perlukan dan banyak faedahnya. Tidak seorang pun dapat menafikan kebenarannya. Oleh yang demikian pendapat golongan ekstrim di atas sudah pasti tidak benar.


Semua bentuk pembangunan yang mendatangkan kesejahteraan kepada masyarakat adalah diterima oleh Islam akan tetapi pembangunan tersebut adalah tidak menurut kehendak Islam yang sebenarnya. Menurut Islam pembangunan yang sebenar bukan setakat pembangunan fizikal sahaja tetapi yang lebih penting adalah manusia dapat menghayati peningkatan jiwa dan akhlak yang mulia. Tidak ada ertinya pembangunan itu bagi manusia yang sakit jiwa dan rosak akhlaknya.


Jiwa yang sakit akan melahirkan masyarakat yang tidak bermoral dan beretika. Akhirnya berlakulah keruntuhan moral sepertimana yang ada pada hari ini. Ramai kalangan remaja yang telah terjerumus ke lembah penagihan dadah dan pelacuran. Tidak kurang pula dengan jenayah kolar putih mahupun jenayah yang berat. Sekarang ini sibuk diperkatakan budaya lepak yang boleh membantutkan pembangunan politik negara sekiranya generasi ini terus leka dan membuang masa tanpa faedah. Oleh itu, pembangunan politik yang seimbang dan bersepadu perlu diberikan perhatian dengan bersungguh-sungguh.


Struktur kekeluargaan, pendidikan, kemasyarakatan dan kenegaraan perlu diperkuatkan. Anak-anak perlu dibekalkan dengan kekuatan mental dan spiritual yang mencukupi. Pendidikan yang lebih bersifat mendidik dan bersepadu perlu diberi perhatian yang sewajarnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah faktor penentu akan keberkesanan sesuatu sistem pendidikan itu.


Di samping itu, masyarakat perlu didedahkan dengan seluas-luasnya dengan konsep pembangunan politik yang progresif dan aktif. Masyarakat perlu sensitif kepada perkara-perkara yang boleh membawa keburukan dan kebaikan.


Akhirnya, di peringkat kepimpinan pula, strategi perlu dirancang iaitu bagaimana untuk melahirkan sebuah negara maju dengan mempunyai rakyat yang sentiasa berupaya untuk menghadapi cabaran zaman yang berubah-ubah.


Kesimpulannya, tanpa kesedaran untuk mewujudkan pembangunan politik yang menekankan kepada nilai-nilai murni Islam, segala rancangan pembangunan hanya merupakan teori sahaja atau hanya berjaya diterapkan sebahagian sahaja. Oleh itu umat Islam perlu bekerja keras dalam usaha menegakkan pembangunan politik yang mempunyai asas kukuh. Semoga dengan adanya kesedaran ini, negara maju yang akan diciptakan nanti adalah negara maju yang bermoral dan berwibawa

No comments:

Post a Comment

Post a Comment