Friday, October 9, 2009

TIADA PAKSAAN DALAM ISLAM

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Agama Islam tidak sekali-kali memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam. Islam mengikhtiraf dan menghormati kewujudan pelbagai agama, bangsa dan warna kulit. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

"Hai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari seorang laki-laki, seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal."(Al Hujurat 49: 13)


Islam adalah agama yang berteraskan kepada kepercayaan dan keyakinan yang terbit dari hati. Pengakuan ketaatan kepada Allah yang satu dan Nabi Muhammad sebagai pesuruhnya tidak dianggap sah sekiranya tidak dituruti dengan keikhlasan hati. Dari itu, orang Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam biarpun mereka itu terdiri dari kaum kerabatnya. Agama Islam tidak boleh dipaksa kepada sesiapapun kerana paksaan adalah perbuatan yang keji dan dikutuk oleh Allah s.w.t. Islam tidak menganjurkan paksaan dalam keadaan apa sekalipun untuk menyebarkan ajarannya kerana tindakan sedemikian hanya akan menghancurkan tujuan dan falsafah hidup Islam itu sendiri. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

"Tiada paksaan di dalam Islam........................."(Al-Baqarah 2:256)


Walaupun orang Islam tidak dibenarkan memaksa, tetapi adalah menjadi kewajipan ke atas setiap mereka untuk menyeru dan mengajak manusia kepada Islam, agama yang membawa kesejahteraan kepada manusia.


Kalau merujuk kepada sejarah, ketika Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam di kalangan bukan Islam, Baginda tidak pernah menggunakan pendekatan yang kasar atau dalam bentuk memaksa. Dakwah yang disampaikan adalah secara lembut dan penuh hikmah. Baginda menyeru manusia menyembah Allah s.w.t. dengan penuh kasih sayang dan mudah difahami. Pendek kata, tidak pernah sama sekali Baginda menggunakan perkataan yang kasar dalam berdakwah. Tanggungjawab menyebarkan Islam mesti disampaikan walau di mana Baginda berada. Ia terpulang kepada orang ramai untuk menerima atau menolaknya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

"Katakanlah (wahai Muhammad): kebenaran itu datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dan sesiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir..."(Al-Khafi 18: 29)


Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud,

"Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad), kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada menolaknya dan sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan, bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)."(Al-Ghasyiyah 88: 21-22)


Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa Islam menjamin kebebasan beragama. Dalam sistem pemerintahan Islam, pemerintah tidak berhak untuk memaksa agama lain untuk memeluk agama Islam sekalipun orang itu tidak mempunyai apa-apa agama. Mereka berhak mengamalkan adat istiadat dan cara hidup mereka selagi mana tidak menimbulkan perkara yang tidak sihat dalam masyarakat umum. Begitulah lunaknya ajaran Islam yang diwahyukan oleh Allah s.w.t.


Tohmahan yang dilemparkan oleh pihak barat yang mengatakan Islam disebarkan melalui mata pedang (secara paksa) adalah tidak berasas sama sekali. Memang benar, dalam sejarah tamadun Islam telah berlaku peperangan antara orang Islam dengan bukan Islam. Peperangan yang berlaku adalah sekadar untuk mempertahankan maruah agama yang cuba dicemari oleh orang bukan Islam ketika itu. Dalam sejarah peperangan Islam, tidak pernah sekali peperangan digunakan untuk tujuan memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam. Kalau adapun berlaku, itu bukanlah dari ajaran Islam tetapi adalah kesalahan individu yang melakukan penyerangan itu.


Ini dibuktikan ketika Nabi Muhammad s.a.w. menyebarkan dakwah Islam di Mekah. Orang Quraisy Makkah dan orang kafir yang lain tidak senang hati akan tindakan Rasulullah itu. Mereka telah cuba mempengaruhi Rasulullah s.a.w. untuk meninggalkan agama Islam. Berbagai-bagai rancangan jahat telah diatur termasuk percubaan untuk membunuh Baginda. Namun Baginda tidak pernah tunduk kepada tekanan itu dan sentiasa bersabar dengan tekanan yang dikenakan.


Walau bagaimanapun, apabila orang kafir ketika itu terus-menerus untuk menghapuskan ajaran Islam dan Baginda, akhirnya Baginda terpaksa bertindakbalas. Baginda memutuskan hanya untuk berperang apabila agama dan nyawa Baginda sendiri terancam. Baginda tidak mempunyai pilihan lain melainkan mempertahankannya. Apabila Baginda mencapai kemenangan dalam peperangan, Baginda tidak pernah memaksa rakyat dijajahnya untuk memeluk agama Islam kerana Baginda tahu itu bukanlah ajaran Islam. Kalau adapun yang memeluk agama Islam, itu bukanlah atas dasar paksaan melainkan atas kerelaan dan keyakinan mereka terhadap Islam.


Dalam satu kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Ishak, terdapat seorang Ansar yang mempunyai dua orang anak lelaki yang beragama Kristian dan tidak mahu menerima Islam. Beliau datang kepada Rasulullah untuk meminta nasihat sama ada untuk memaksa anak-anaknya itu memeluk agama Islam. Akhirnya turun ayat tiada paksaan dalam agama seperti yang telah disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 256. Ibn Athir di dalam mengulas ayat ini menerangkan bahawa Islam tidak membenarkan sama sekali umatnya memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam. Hujah ini disokong oleh Zamakhshari. Menurut beliau, Islam tidak pernah memaksa orang lain memeluk Islam. Terpulanglah kepada mereka dengan akal yang ada untuk menerimanya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekelian manusia yang ada di muka bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"(Yunus 10: 99)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment