Friday, October 9, 2009

ISLAM DAN PENYELESAIAN DIPLOMASI

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Dunia sejak akhir-akhir ini menyaksikan kesombongan dan keangkuhan pihak barat setelah musnahnya regim komunis. Kancah politik antarabangsa menjadi semakin serius bila mana negara ini menggunakan kuasa veto dengan sewenang-wenangnya. Persoalan keadilan diletakkan di tempat kedua. Kepentingan mereka mendahului segala-galanya. Kemunculan kuasa lain yang cuba mencabar kewibawaannya akan menerima nasib yang padah.


Ternyata sekali negara Iraq telah menjadi mangsa entah kali yang ke berapa dalam sejarah dunia. Akibat pencerobohannya ke atas Kuwait, sehingga ke hari ini, walaupun Iraq dikatakan `telah menyerah kalah', namun Iraq terus-menerus menerima tekanan sama ada daripada aspek dalaman mahupun luaran. Korban nyawa yang dilaporkan seramai lebih dari 100,000 orang langsung tidak mencetuskan rasa simpati pihak Barat. Kalau tidak kerana adanya undang-undang antarabangsa, sudah lama negara Iraq hilang dari peta dunia. Menurut sesetengah sarjana politik, inilah corak percaturan politik era abad ke 21 .


Di manakah ungkapan `keadilan sejagat' yang selama ini dilaung-laungkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu?. Apakah sudah tidak ada lagi diplomasi selain daripada kekerasan dalam menyelesaikan krisis antarabangsa?.


Diplomasi mengikut pengertian pada hari ini ialah suatu seni atau amalan mengendalikan hubungan antarabangsa tanpa menggunakan kekerasan. Pengertian ini membawa makna bahawa diplomasi bertujuan untuk menjalinkan hubungan baik antara satu negara dengan negara lain sama ada dalam aspek ekonomi, politik atau sosial. Sebarang pertikaian yang berlaku seharusnya diselesaikan dengan baik dan bertimbang rasa bukan berdasarkan rasa emosi dan iri hati. Islam amat menekankan diplomasi yang mementingkan unsur-unsur yang beretika, beradab, bersopan, berakhlak dan lain-lain lagi. Oleh itu, seboleh-bolehnya penggunaan kekerasan hendaklah dielakkan.


Sejarah telah membuktikan bahawa pendekatan melalui diplomasi telah berjaya membawa negara Islam Madinah di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara jirannya dan lain-lain. Rasulullah s.a.w. dalam diplomasinya sentiasa menekankan nilai-nilai hikmah dan melarang para sahabat menggunakan kekerasan kecuali dalam beberapa perkara yang melibatkan ancaman besar kepada aqidah umat Islam seperti yang telah berlaku dalam beberapa siri peperangan dalam sejarah Islam termasuklah peperangan Badar, Uhud, Khandak dan lain-lain lagi yang boleh membawa kepada kejatuhan empayar Islam. Dakwaan orientalis yang menyatakan bahawa Islam tersebar melalui mata pedang adalah tidak benar sama sekali.


Rasulullah s.a.w. ketika menjalinkan hubungan dua hala dengan kerajaan-kerajaan seperti Heraklius, Kisra, Muqauqis, Najashi (Negus) di Abisinia, kepada Harith al-Ghassani dan kepada penguasa Kisra di Yaman. Baginda langsung tidak menggunakan kekerasan walaupun ketika itu kekuatan Islam melebihi kekuatan musuhnya. Ini menunjukkan betapa Islam amat menekankan nilai-nilai mulia diplomasi dalam berpolitik.


Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan diplomasi pada hari ini, ternyata kuasa-kuasa besar menggunakan kekuatan-kekuatannya yang ada untuk menghancurkan negara-negara yang tidak setanding dengannya. Amerika Syarikat yang mempelopori kuasa veto telah keluar sebagai jaguh memperkotak-katikkan negara-negara yang dianggapnya `kecil'.


Terlalu banyak perkara yang bertentangan dengan norma-norma dan tujuan diplomasi dilakukan. Negara haram Israel iaitu `anak emas' di bumi Palestin dibela dengan baik sebagai satu kuasa untuk mengawasi kawasan teluk di Timur Tengah. Rakyat Palestin dibiarkan menderita di tanahair sendiri. Lebih menyedihkan lagi mereka telah dibunuh, disiksa, diusir dan lain-lain lagi keganasan yang tidak sepatutnya berlaku. Pengusiran 415 rakyat Palestin dari tanahair mereka oleh regim Tel Aviv baru-baru ini begitu jelas sekali membuktikan pelanggaran hak-hak asasi manusia dalam piagam PBB, tetapi ini terus dibiarkan oleh PBB.


Keadaan yang sama berlaku kepada umat Islam di Bosnia, satu-satunya negara umat Islam di kawasan Eropah setelah jatuhnya empayar Othmaniyyah. Walaupun pencabulan yang jelas dan nyata telah dilakukan oleh pihak Serb terhadap Hak-hak Asasi Manusia dan Undang-Undang Antarabangsa, tetapi keganasan itu terus-menerus dibiarkan tanpa menimbulkan rasa simpati. Keganasan yang telah melebihi tabiat haiwan ini masih dianggap oleh pihak barat sebagai satu perkara yang menjadi lumrah. Banyak lagi contoh-contoh lain yang tidak dapat diperjelaskan dalam artikel yang ringkas ini.


Sekiranya diteliti dan analisis secara mendalam, ternyata sekali bahawa krisis dan konflik antarabangsa yang berlaku ini adalah disebabkan oleh diskriminasi yang amat ketara berlaku dalam diplomasi, atau dengan kata lain kepentingan individu mengatasi kepentingan umum. Diplomasi mereka lebih berpihak kepada negara-negara yang menjadi `kesayangannya' yakni negara yang dapat memberikan faedah untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Negara-negara seperti Arab Saudi dan Kuwait terus berada dalam penguasaan pihak barat atas kepentingan kekayaan minyak yang menjadi senjata utama dunia hari ini.


Sementara negara yang tidak membawa kekayaan kepadanya dibiarkan begitu sahaja, kalau adapun bantuan hanya dibuat secara endah tak endah sahaja. Contohnya seperti di Somalia. Kebuluran yang semakin menjadi-jadi akibat perang saudara yang telah memakan korban yang tidak terbilang, baru menampakkan bantuan yang tidak nyata daripada PBB.


Dalam bidang persenjataan, pihak barat berlumba-lumba untuk menjadi jaguh teknologi senjata yang canggih sama ada di darat, lautan mahupun di angkasa lepas. Sesiapa sahaja yang cuba mencabar kewibawaan mereka akan menerima nasib yang padah. Termeterainya START-II (Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Kedua) menunjukkan kebimbangan kuasa-kuasa Barat ini terhadap kemampuan negara-negara lain yang mempunyai potensi yang setanding dengan mereka. Negara Iraq yang dikatakan mempunyai potensi mengeluarkan persenjataan nuklear canggih menerima tekanan demi tekanan dari PBB kerana mereka tidak mahu melihat ada kuasa lain yang cuba menyaingi kuasa veto mereka.


Di sinilah perbezaan yang amat jelas antara diplomasi yang dianjurkan oleh pihak barat dengan diplomasi Islam. Islam menganjurkan diplomasi tanpa mengira pangkat, kedudukan, agama, bangsa dan asal keturunan. Semuanya di sisi Islam adalah sama dan mempunyai hak masing-masing. Hanya yang membezakan antara satu sama lain ialah taqwa sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Hai manusia! sesunguhnya Kami mencipta kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk kamu saling kenal mengenal sesama kamu. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa" (Al Hujurat: 13)


Memandangkan diplomasi pada hari ini lebih cenderung kepada diskriminasi yang begitu ketara maka sudah sampailah masanya negara-negara Islam khususnya memikirkan kembali kedudukan mereka dalam PBB. Apakah dengan mereka rela masa depannya terus menerus ditentukan oleh orang lain? Sekiranya tidak, mereka sepatutnya memikirkan altenatif lain untuk membolehkan keluar sebagai satu kuasa yang dihormati dan disegani. Untuk itu, negara-negar Islam perlu bersatu di bawah naungan dan landasan Islam bukan atas dasar bangsa Arab, bangsa Melayu dan sebagainya. Penyatuan ini adalah amat penting untuk Islam kembali menjadi kuat dan gagah seperti wujudnya dahulu dalam sejarah Islam. Kekuatan-kekuatan yang ada perlu disepadukan, ini termasuklah:

(i) Kita sedar, negara-negara Islam di anugerah oleh Allah s.w.t dengan kekayaan yang melimpah ruah seperti bahan-bahan mentah terutamanya minyak yang menjadi senjata utama dunia pada hari ini. Berbanding dengan negara-negara lain, kalau adapun kekayaan ini tidaklah sebanyak yang dimiliki oleh negara-negara Islam. Kekuatan ini sepatutnya dipergunakan dengan sepenuhnya oleh negara-negara Islam sebagai salah satu senjata penting untuk menggerunkan musuh-musuhnya.

(ii) Pakatan ekonomi rantau Asia (EAEC) sepatutnya diperhebatkan untuk menyaingi pakatan yang sedia ada iaitu Kesatuan Eropah dan Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang kini menguasai ekonomi dunia. Menurut Dr. Nordin Sopiee, Asia Timur berkemampuan untuk menyaingi pakatan gergasi ini sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan masa depan mereka.

(iii) Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) sepatutnya diperkuatkan supaya suara mereka mampu untuk menggegarkan dunia. OIC mampu berbuat demikian sekiranya tindakan mereka dapat diseragamkan dan bukan seperti yang berlaku pada hari ini.

(iv) Negara-negara Islam juga perlu mengkaji kedudukan mereka dalam PBB berdasarkan kepada perkembangan yang semakin menyakitkan hati sejak akhir-akhir ini. Sekiranya Kuasa veto masih lagi menguasai PBB adalah terlalu sukar bagi negara-negara yang lain untuk menyuarakan hasrat mereka untuk diterima.


Walau bagaimanapun, untuk mencapai tujuan di atas bukan suatu perkara yang mudah sekiranya umat Islam tidak memperjuangkan kepentingan global. Negara-negara Islam yang kini bermusuhan antara satu sama lain disebabkan oleh perkara yang remeh temeh sepatutnya sanggup tampil ke hadapan dan berkorban untuk masa depan Islam. Diplomasi yang sebaik-baiknya hendaklah dijalin. Kalau adapun diplomasi yang boleh dikategorikan sebagai `merugikan' anggaplah sebagai satu kerugian sementara demi untuk mencapai keuntungan yang lebih besar.


Sirah Nabi Muhammad s.a.w. ketika Baginda menandatangani perjanjian Hudaibiyah dengan Kafir Quraisy sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita betapa pentingnya maslahat umum daripada kepentingan peribadi. Dalam perjanjian tersebut, Rasulullah s.a.w bersetuju perkataan Bismillahhir-Rahmanir-Rahim (Dengan nama Allah, Pengasih dan Penyayang) hanya ditulis Bismikallahumma (Dengan Nama Mu Ya Allah) dan Perkataan Muhammad Rasulullah hanya di tulis Muhammad bin Abdullah. Peristiwa ini menunjukkan betapa Rasulullah s.a.w begitu berdiplomasi dalam tindakannya demi untuk kepentingan umum. Hasilnya, perjanjian yang ditandatangani hasil kebijaksanaan Baginda bukan hanya menguntungkan umat Islam malahan ia telah berjaya membawa Islam ke tahap yang lebih dihormati dan disegani dunia.


Jelasnya Islam yang mengajak kepada amalan bertolak ansur seperti diplomasi selagi amalan tersebut tidak menjejaskan prinsip-prinsip Islam. Prinsip-prinsip ini wujudpun demi untuk menjaga, antara lain kehormatan dan kredibiliti manusia sebagai umat yang bermaruah.

No comments:

Post a Comment