Friday, October 9, 2009

Islam Dan Politik Wang

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Isu politik wang mutakhir ini menjadi perbincangan hebat para ahli politik, media massa dan rakyat. Ramai mulai sedar akan bahaya politik wang. Ini merupakan satu petanda baik dalam usaha menuju era negara maju yang bermoral.


Politik wang boleh diibaratkan sebagai satu penyakit yang berjangkit yang perlu segera diubati dan dibendung. Sekiranya penawarnya tidak ditemui maka penyakit tersebut bukan hanya boleh membawa kerosakan kepada individu yang terlibat malahan lebih dahsyat lagi masyarakat dan negara keseluruhannya akan menjadi lumpuh. Kejatuhan Presiden Marcos dari tampok kepemimpinan Filipina adalah kerana amalan politik wang yang tidak dapat dibendung.


Politik wang dimaksudkan dengan sogokan atau pemberian sesuatu sama ada berbentuk wang ringgit, harta benda dan kemudahan-kemudahan tertentu dengan tujuan untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya, mendapatkan projek-projek tertentu ataupun menutup sesuatu keburukan. Rasuah adalah antara gejala hasil daripada politik wang. Banyak negara telah menyaksikan pemimpin yang mengamalkan politik wang tidak dapat bertahan lama. Mereka akhirnya akan menerima padah.


Amalan ini juga pernah dilakukan oleh Machiavelli ketika berkuasa. Semua jentera kerajaan digunakan, tidak kira ia menyalahi undang-undang demi mengekalkan kuasanya. Kekayaan negara digunakan dengan sewenang-wenangnya. Rasuah dan pecah amanah berleluasa. Akibatnya negara hancur, rakyat menderita.


Jika ditinjau dari sudut pandangan politik Islam, ternyata politik wang merupakan perbuatan yang amat keji dan berdosa. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka. Jelas di sini, Islam menentang keras amalan rasuah yang termasuk juga politik wang. Politik wang bukan hanya boleh menghancurkan negara dan rakyatnya malahan juga agama akan turut tergadai. Fakta seperti ini turut disokong oleh pemikir-pemikir yang terkenal seperti Kung Fu Tze, Gandhi dan Plato. Mereka berpendapat agama dan pemimpin perlu memainkan peranan utama bagi membendung gejala politik wang dan segala amalan penyelewengan yang melibatkan penggunaan kuasa dan wang.


Menurut Imam Al-Ghazali, kerajaan adalah saluran untuk berkhidmat kepada rakyat bukan untuk menguasai mereka. Negara harus memberi keuntungan kepada rakyat bukan mengaut keuntungan dari mereka. Pemimpin hanya sebagai alat untuk menjamin kesejahteraan dan kesentosaan kehidupan bernegara. Justeru itu, gejala negatif seperti politik wang hendaklah dihindarkan untuk mempastikan keadilan politik terjamin. Berhubung dengan soal ini juga, Ibn. Taimiyah memberikan pandangan yang begitu tegas. Sesiapa yang menyeleweng daripada menjalankan amanah yang diberikan seperti politik wang (wang suap), maka mereka telah mengkhianati Allah, Rasul Nya dan kaum Muslimin dan bererti melanggar ayat berikut:

"Wahai orang-orang Mukmin, janganlah kamu khianati Allah dan RasulNya dan jangan pula kamu khianati amanah" (al-Anfal: 27)


Dalam kitab mashyurnya bertajuk As-Siasah As-Syar'iyah, Ibn. Taimiyah menegaskan sesiapa yang bertindak memberikan jawatan tertentu kepada seseorang atas dasar cintanya kepada mereka bukan berdasarkan kelayakan dan keperibadian yang unggul bererti dia juga telah mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum Muslimin. Begitu juga dengan pemberian harta yang bukan miliknya maka dia telah mengkhianati amanah. Demikian juga sekiranya dia mengkorupsikan harta bukan haknya atau mengangkat orang yang mengampu atau menyokongnya.


Kalau ditinjau dalam sejarah peradaban Islam yang lampau ternyata amalan seperti ini tidak berlaku. Nabi Yusuf ketika menjadi pemimpin sentiasa mengingatkan pembesar-pembesarnya supaya berhati-hati melaksanakan pentadbiran negara. Amalan politik wang seperti rasuah, pembaziran, riba, dan sebagainya sentiasa terkawal. Hukuman akan dijatuhkan kepada mereka yang melanggar peraturan. Pendek kata, tindak-tanduknya sentiasa berpandukan petunjuk-petunjuk Allah s.w.t. melalui kitab-kitab suci dan wahyu Allah s.w.t..


Begitu juga semasa pemerintahan empat orang khalifah Islam. Mereka menolak perlantikan untuk menjadi pemimpin, walaupun mereka mempunyai kelayakan dan menepati kritiria-kritiria yang digariskan dalam Islam. Mereka takut memikul beban tanggungjawab sebagai seorang pemimpin negara kerana mereka sedar bahawa tanggungjawab ini tidak boleh dipandang ringan kerana tindak tanduk mereka akan dinilai oleh Allah s.w.t. sebagai yang disebut dalam surah al-Anfal iaitu takut mengkhianati amanah yang bererti mengkhianati Allah s.w.t. dan RasulNya.


Dalam sejarah juga ternyata Allah s.w.t. ada menyebut bagaimana Qarun telah menyimpang dari panduan yang telah ditetapkan. Qarun membolot segala kekayaan negara dan mengamalkan politik wang. Segala wang rakyat digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk kepentingan peribadinya. Kebajikan rakyat diabaikan. Qarun menunjukkan keangkuhan dan kesombongannya melalui kekayaan yang dimiliki sehingga ada di kalangan mereka yang terpesona dengan kekayaannya itu. Akhirnya Qarun telah dimusnahkan oleh Allah s.w.t. bersama-sama harta kekayaannya. Peristiwa ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Qasas ayat 76 - 82.


Peristiwa ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita hari ini dalam keghairahan untuk menjadi pemimpin. Selain dari menilai sama ada individu berkenaan mempunyai kelayakan atau tidak, persoalan perlu ditanya, apakah aku mampu memikul tanggungjawab tersebut? Apakah akibatnya kepada agama, bangsa dan negara sekiranya aku tidak dapat menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan dedikasi?


Memandangkan betapa serius kesan yang dibawa oleh politik wang maka persediaan ke arah mengurangkannya perlu dibuat.


* Kesedaran pimpinan politik negara hari ini akan bahayanya politik wang patut disokong dengan sebulat suara. Rakyat berperanan bersama-sama membenteras politik wang ini. Kesedaran ini tidak akan bermakna sekiranya hanya satu pihak sahaja yang bersungguh-sungguh. Dalam demokrasi, pemimpin bertanggungjawab kepada rakyat, rakyat bertanggungjawab kepada pemimpin yakni membetulkan mereka sekiranya menyeleweng daripada landasan yang sebenar.

* Mewujud persekitaran yang dapat menjamin usaha memantapkan akhlak berdasarkan iman dan takwa, di samping membenteras kekejaman dan kejahatan. Agama perlu diberi perhatian dalam politik. Politik tanpa agama akan memisahkan seseorang itu dengan Penciptanya. Apabila agama tidak lagi mengikat, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak sihat seperti politik wang.

* Meningkatkan kesedaran rakyat tentang bahayanya politik wang. Ini boleh dibuat melalui alat sebaran am seperti akhbar, radio, tv dan media massa lain secara sihat. Di samping itu, pemimpin-pemimpin politik juga mesti memainkan peranan penting di dalam menyampaikan mesej ini. Mereka yang tidak layak dan tidak menepati kritiria kepemimpinan serta mengamalkan politik wang sepatutnya diketepikan dari memegang teraju kepemimpinan seperti yang berlaku di Jepun.

* Membenteras segala bentuk diskriminasi, memberi peluang seimbang untuk rakyat baik dalam bidang material atau spiritual. Rakyat perlu diberikan kebebasan politik dan sosial dalam batas undang-undang yang menentukan hak mereka. Mereka berhak memilih siapakah pemimpin berkelayakan yang boleh memimpin mereka tanpa disogok dengan wang, pangkat dan harta oleh mereka yang tidak layak menjadi pemimpin.

* Tindakan undang-undang hendaklah diambil kepada mereka yang mengamalkan politik wang. Hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka patut difikirkan supaya ia tidak berulang lagi. Perdana Menteri pernah berkata perkara yang sama dan akan mengambil tindakan kepada pengamal politik wang dalam majlis perasmian perhimpunan Agung MCA 11 Julai 1987:

'rasuah , walau apa jua bentuknya, tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat atau kerajaan. Jika disyaki bahawa pemindahan kesetiaan mana-mana wakil rakyat adalah kerana disogok wang atau lain-lain cara yang sedemikian, siasatan akan dibuat terhadap wakil berkenaan dan jika didapati benar, tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya. Politik wang tidak boleh dibenarkan berleluasa di negara ini. Jika kerajaan sudah boleh dibeli, maka bukan sahaja demokrasi tidak bermakna lagi, tetapi juga negara ini mungkin diperkosa oleh orang yang kaya, dan lebih buruk lagi oleh kuasa asing. Oleh sebab itu, kerajaan memandang berat terhadap sebarang kegiatan yang cuba menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan wang'


Justeru itu, sewajarnya tindakan perlu disegerakan untuk membendung gejala ini. Tidak ada ertinya sesuatu dasar itu diwartakan sekiranya ia hanya bertepuk sebelah tangan. Pemimpin dan rakyat harus berganding bahu tanpa mengira siapa aku dan siapa engkau dan dalam hal ini satu perkara penting yang harus diberi perhatian dengan serius dan bersungguh-sungguh bahawa agama perlu memainkan peranan penting dalam kehidupan termasuk politik. Agama tidak boleh diasingkan dari kehidupan manusia dalam apa bidang sekalipun.

No comments:

Post a Comment