Friday, October 9, 2009

ZIONIS, YAHUDI DAN ISLAM

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Perkembangan mutakhir di Palestin semakin mengecewakan. Regim Zionis Yahudi di Palestin semakin mengganas ibarat harimau lapar mendapat mangsanya. Hari demi hari rakyat Palestin menjadi korban, dibunuh, ditembak, disiksa dan diperlakukan seperti haiwan atau hamba abdi yang hina.


Tanggal 13 September 1993 langsung tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada mereka. Perjanjian hanya tinggal perjanjian. Umat Islam terus ditindas. Perjanjian Perdamaian hanya sebagai batu loncatan untuk mengatakan kepada dunia bahawa Zionis Yahudi ingin berdamai. Walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya. Lebih menyayatkan lagi, pada 25 Februari 1994, dilaporkan sekurang-kurangnya 38 orang Islam Palestin telah dibunuh ketika sedang menunaikan solat. Angka ini tidak termasuk lagi mereka yang setiap hari dihina dan disiksa.


Bagi rakyat Islam asal Palestin, mereka bertekad akan terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Seperti yang dikatakan oleh seorang cendekiawan barat, George Bernard Shaw dalam madahnya yang berbunyi:

'Andainya kamu berjaya mencabut identiti sesuatu bangsa, bangsa itu tidak akan berfikir apa-apa selain dari pemulihan identitinya kembali. Ia tidak akan mendengar nasihat sesiapapun atau melakukan apa jua usaha kecuali usaha mengembelingkan kekuatan dan mencapai cita-cita untuk bebas dan merdeka kembali.'


Rakyat Palestin kini terus berhempas pulas untuk menebus maruah mereka walaupun terpaksa menggunakan senjata usang dan batu-batu jalanan sebagai senjata mempertahankan diri, apatah lagi setelah perjanjian damai dicabuli oleh Zionis Yahudi.


Sejarah telah membuktikan bahawa kaum Zionis adalah kaum pendatang yang merempat di bumi Palestin. Kuasa-kuasa barat Kristian bertanggungjawab membenarkan orang Zionis Yahudi berhijrah ke Palestin. Penubuhan negara Yahudi di Palestin yang bertopengkan nama Israel adalah hasil tajaan Pergerakan Sekular Zionis. Menurut doktrin Theodore Herzal, gerakan Zionis bertujuan untuk memesongkan aqidah orang-orang Islam Palestin dengan memisahkan agama dan politik dan seterusnya merampas tanahair mereka. Taktik ini ternyata telah berjaya dan pada 14 Mei 1948, negara Zionis Yahudi telah ditubuhkan serta mendapat pengikhtirafan PBB yang semakin diragui akan kredibilitinya untuk menjaga keamanan dunia. Kini sudah lebih 46 tahun regim zionis yang menumpang di Palestin berkuasa dan bermaharajalela. Zionisme telah melakukan kezaliman terhadap umat Islam di Palestin dan juga terhadap Kristian dalam sikapnya menjadikan Baitul Muqaddis dan Juruselam sebagai ibukota Israel.


Akibatnya gerakan zionis Yahudi ini bukan hanya ditentang oleh Islam malahan agama ortodok Yahudi turut menentang pergerakan ini.


Ternyata bahawa gerakan Zionis adalah suatu gerakan yang merbahaya kepada umat Islam. Mereka menjalankan dasar disriminasi yang begitu nyata walaupun dari segi undang-undang mereka tidak mempunyai hak langsung untuk berbuat demikian. Bukan yahudi yakni penduduk Palestin tidak dibenarkan langsung memiliki tanah walaupun Palestin adalah tanahair mereka sendiri. Sementara orang-orang zionis yahudi yang berhijrah ke Palestin terus diberi taraf kewarganegaraan dan hak-hak istimewa yang lain. Sumber air di Tebing Barat terus dijadikan hak mereka. Pendek kata, keadaan sudah berubah dan rakyat Palestin pula merempat di tanahair sendiri.


PBB tidak dapat lagi diharapkan untuk memainkan peranan secara adil. Resolusi-resolusi yang diluluskan yakni supaya berdamai dengan penduduk Palestin telah dicabar oleh yahudi zionis sendiri. Namun tidak ada tindakan dilakukan walaupun mereka berupaya melakukannya.


Sementara kebanyakan negara Islam yang lain hanya melihat sahaja perkembangan yang berlaku seolah-olah mereka sedang dipengaruhi oleh sikap mementingkan diri sendiri. Bukan sahaja nasib rakyat Palestin dilupakan, malah maruah Islam di Masjid Al-Aqsa seolah-olah diabaikan langsung.


Berhubung dengan Masjid Al-Aqsa, sebenarnya, umat Islam dan Kristian tidak dapat menerima kedudukan Juruselam sebagai ibu kota Israel dan sebahagian daripada Israel. Isu ini telah lama diperjuangkan oleh pemimpin Islam dan Kristian supaya Juruselam dan Al-Quds dijadikan kota antarabangsa (Internationalization of Juruselam). Tetapi kini seolah-olah Al-Aqsa tidak menjadi sensitif lagi kepada mereka.


Ternyata, Juruselam dan Al-Quds sudah dianggap sebagai sebahagian daripada Israel dan tidak boleh dirundingkan lagi. Ini merupakan tamparan hebat kepada Islam dan Kristian.


Al-Qud merupakan kota suci agama Islam, Yahudi dan Kristian. Sepatutnya Israel membebaskan Al-Quds daripada pentadbirannya sekiranya ia benar-benar ingin mencari kedamaian dengan umat Islam dan Kristian.


Melihat kepada perkembangan yang berlaku, mahu tidak mahu umat Islam perlu membuka mata mulai sekarang dan mengambil tindakan bersama yang sesuai untuk menyelamatkan bumi Palestin. Kita selalu mengingati peristiwa Israk dan Mikraj setiap 27 Rejab di mana Allah S.W.T membawa Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram ke ke Masjid Al-Aqsa, diikuti Mikraj. Tetapi apakah memadai hanya dengan mengingatinya tanpa apa-apa tindakan.


Kita sedia maklum berdasarkan perkembangan terbaru, harapan untuk Israel menyerahkan tanahair kepada penduduk Palestin adalah amat tipis apatah lagi untuk menyerahkan Baitul Muqaddis kota suci umat Islam yang juga didakwa sebagai kota suci yahudi zionis.


Dalam hal ini sudah pasti umat Islam perlu berhati-hati apabila menghadapi puak zionis. Ternyata, dalam sejarah zionis yahudi sering mencabul perjanjian yang mereka sendiri persetujui. Islam tidak pernah menafikan perlunya perdamaian kepada semua manusia. Malah pendekatan Islam memang ke arah itu. Sejak dahulu lagi, di zaman Rasulullah S.A.W., tali persahabatan sentiasa dihulur tidak kira apa agama, bangsa, keturunan, latar belakang dan warna kulit.


Perjanjian Hudaibiyyah adalah contoh yang amat ketara. Rasulullah S.A.W. sanggup menandatangi perjanjian perdamaian yang disifatkan oleh para sahabat sebagai `merugikan'. Tetapi akhirnya kejayaan datang melimpah-ruah kepada Islam.


Namun, dalam konteks hari ini adakah perjanjian Hudaibiyyah ini boleh diaplikasikan dalam konteks perjanjian damai dengan golongan zionis?


Rasulullah S.A.W sanggup menandatangi Perjanjian Hudaibiyyah kerana kekuatan Islam begitu mantap. Rasulullah S.A.W. telah mempunyai sebuah negara di Madinah yang begitu digeruni. Tetapi dalam konteks Palestin, ternyata bahawa keadaan begitu berbeza. Yahudi zionis menceroboh ke tanah asal Palestin tanpa kebenaran dan seterusnya mengakui itulah tanahairnya. Bukan setakat itu, malah penduduk asal Palestin terus menerus ditindas, dihina, dan disiksa. Apakah wajar perjanjian ditandatangani? Kalaupun perjanjian damai ditandatangani, apakah yang menghalang zionis yahudi untuk tidak merampas dan mencerobohnya kembali? Ini kerana tidak ada undang-undang antarabangsa memihak kepada Palestin yang ditindas setakat ini?.


Justeru itu, perjanjian hanya menjadi erti sekiranya tanahair Palestin dipulangkan kepada tuannya yang asal. Sungguh malang bagi orang Islam yang kini berjumlah lebih satu billion hanya membiarkan sahaja apa yang berlaku di sana. Islam sebenarnya mempunyai kekuatan. Kekuatan Arab di zaman lampau terletak pada kekuatan perpaduan Islamnya walaupun bilangannya sedikit sekali. Tetapi kekuatan Islam dari bilangannya kini terlalu ramai tetapi tidak berkualiti. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa umat Islam bilangannya ramai tetapi ibarat buih di waktu banjir, banyak, tetapi kosong.


Menyedari hakikat itu, umat Islam harus bangun dan bertekad untuk menyelamatkan maruah umat Islam yang telah dinodai oleh musuh Islam puak zionis itu.

1 comment: