Friday, October 9, 2009

KEADILAN POLITIK ISLAM

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Peri pentingnya keadilan ditegakkan dalam politik tidak dapat dinafikan lagi. Perkataan adil (al-adalah) disebut dalam al-Quran tidak kurang daripada 28 kali. Selain itu perkataan al-qist yang juga bermaksud keadilan juga termaktub dalam al-Quran sebanyak 25 kali. Pendek kata, bermula dari pembinaan individu, keluarga, masyarakat negara dan sehingga ke peringkat global, Islam menyeru umatnya berlaku adil untuk menjamin kedamaian hidup. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Sesungguhnya, kami telah mengutuskan Pesuruh dengan tanda-tanda yang jelas,dan menurunkan kepada mereka al-Quran dan penimbang (pengadilan) supaya manusia tegas dengan keadilan; dan Kami menyediakan kekerasan, yang mana ia sangat berkuasa dan berguna keadaan manusia, dan Allah mengetahui siapa yang akan menolongNya dan pesuruhNya semasa susah"(Al-Hadi, 57:25)


Berhubung dengan ayat ini, Ibnu Taimiyyah berkata tujuan diutuskan nabi-nabi dan penurunan al-Quran adalah supaya manusia melakukan keadilan untuk jalan Allah dan mengikut kebenaran makhlukNya. Oleh sebab itu sesiapa yang menyeleweng dari al-Quran harus dibetulkan. Dakwaan seharusnya dibuat ke atas mereka yang menindas manusia dan mereka yang melakukan ketidakadilan dan kesalahan (al-Syura 42:42). Di sinilah terletaknya ketegasan Islam di dalam mempastikan keadilan politik ditegakkan.


Menjalankan keadilan politik dalam Islam tidak ada diskriminasi. Semua manusia adalah sama sahaja di sisi Allah s.w.t. tanpa mengenal pertalian darah, persaudaraan, warna kulit, bangsa, darjat, agama dan keturunan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu (golongan) mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah" (Al-Maidah: 8)

"Dan apabila kamu mengatakan sesuatu maka hendaklah kamu berlaku adil sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu)" (Al-An'am: 152)

"Dan apabila kamu menjalan hukuman di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil" (An-Nisa: 58)


Mengenai perkara tersebut, Allah s.w.t. memerintahkan manusia supaya berlaku adil dalam semua keadaan, sama ada kepada orang yang dikasihi mahupun yang dibenci. Pemerintah diingatkan supaya menjalankan dasar perlaksanaan keadilan politik yang mutlak, sekalipun terhadap musuh yang membenci Islam.


Menurut Syed Qutub, keadilan adalah asas hukum dalam Islam. Dengan sebab itu, ketika Rasulullah s.a.w. mentadbir kerajaan, Baginda s.a.w. telah melantik hakim (kadi) yang terdiri daripada mereka yang bertaqwa kepada Allah s.w.t., warak dan tidak lemah keimanannya, di samping mesti arif dalam hal-hal syariah. Rasulullah s.a.w. dari masa ke semasa sentiasa membimbing dan melatih mereka dengan baik demi memastikan keadilan politik terjamin. Sistem politik yang sedemikian merupakan institusi terawal yang ditubuhkan di bawah pemerintahan Islam untuk menjamin keadilan.


Namun demikian, keadaan ini amat berbeza dengan keadilan politik yang dipraktikkan masa sekarang. Dunia telah menyaksikan ketidakadilan politik merata-rata. Fahaman politik perkauman, sentimen agama yang melulu dan politik kepartian (partisan politics) telah menyebabkan manusia tidak lagi berlaku adil. Mereka yang berada dan kuat mendapat jaminan keadilan. Sementara mereka yang lemah terus menjadi mangsa. Golongan yang menyokong pihak yang berkepentingan akan diberi perlindungan dan keistimewaan.


Peristiwa di Bosnia sepatutnya menjadi ikhtibar kepada dunia Islam yang semakin hari semakin menampakkan perpecahan sesama mereka. Keengganan kuasa-kuasa besar menghulurkan bantuan terhadap pencerobohan puak Kristian Serb dan Croat merupakan pencabulan yang begitu nekad dalam senario konflik antarabangsa apatah lagi kalau dilihat dari kacamata politik sentimen agama. Islam yang tinggal di tengah-tengah masyarakat bukan Islam ditindas sebegitu rupa. Konflik yang hampir meragut hampir 200,000 nyawa umat Islam yang tidak berdosa langsung tidak menimbulkan rasa simpati.


Berbanding dengan pemerintahan Islam. Orang Islam dan orang zimmi sama sekali tidak ada bezanya dalam pandangan hukum. "Darah mereka", kata Saidina Ali r.a., "adalah seperti darah kita". Menurut hukum Islam, apabila seorang zimmi dibunuh oleh seorang Islam, orang Islam itu akan mendapat hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.


Satu lagi contoh yang jelas ialah ketika Islam berkembang di Sepanyol, satu jabatan khusus yang bertugas melindungi kaum zimmi telah ditubuhkan untuk menjaga kepentingan mereka yang dikenali sebagai katib uz-zimam. Ini dibuktikan seterusnya ketika pemerintahan Khalifah Othman. Paderi Kristian Kota Merv berkata kepada Uskup Fars yang bernama Simeon, "orang Arab yang dianugerahi Tuhan kerajaan (di dunia) tidak menyerang agama Kristian, sebaliknya mereka menolong kita menjalankan agama kita". Begitulah betapa adilnya sistem politik Islam walaupun terhadap orang bukan Islam.


Selain itu, keadilan politik juga terpancar di dalam Piagam Madinah. Piagam tersebut bukan hanya berjaya menyatukan pelbagai puak yang terdiri daripada berbilang agama yang wujud ketika itu, tetapi ia juga telah berjaya melahirkan satu model negara Islam yang aman damai. Rasulullah s.a.w., tidak pernah menjalankan diskriminasi sekalipun penduduk Islam melebihi penduduk bukan Islam. Rasulullah s.a.w. telah bertindak sebagaimana Firman Allah s.w.t.;

"... Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan) maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka; jika kamu berpaling daripada mereka maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil." (Al-Maidah: 42)


Ayat ini merupakan satu peringatan Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. supaya berlaku adil dalam membuat keputusan terhadap semua pihak yang terlibat. Selepas kewafatan Baginda, beban ini dipikul oleh pengganti Baginda iaitu Khalifah Abu Bakar. Atas kesedaran betapa beratnya memikul tanggungjawab sedemikian, sejurus selepas perlantikan Khalifah Abu Bakar, beliau berkata;

'...Aku telah dipertanggungjawabkan mentadbir kerajaan. Abu bukanlah yang terbaik...aku memerlukan nasihat dan bantuan, Jika sekiranya aku melakukan kebaikan, maka sokonglah aku, jika aku melakukan kesilapan maka perbetulkan aku"


Kata-kata ini begitu bermakna sekali kepada kesinambungan politik Islam hari ini. Menurut sarjana-saraja Barat, keadilan tidak akan tercapai jika tidak terdapat "check dan balance" antara pemerintah dengan golongan yang diperintah.


Berdasarkan beberapa penjelasan ringkas di atas, sudah jelas bahawa keadilan politik sentiasa terpancar dalam Islam. Al-Quran dan As-Sunnah memberikan panduan-panduan yang cukup jelas untuk manusia menjalani kehidupan seharian. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim terutamanya pihak pemerintah untuk memastikan keadilan sentiasa selangkah dan seiring dengan corak pemerintahannya. Semuanya ini bertujuan untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia. Ganjaran bagi pemimpin yang menegakkan keadilan begitu begitu besar sekali. Sabda Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tujuh (golongan) yang dinaungi Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan selain daripada naungannya: Imam yang adil.... "


Imam yang dimaksudkan dalam hadis ini menurut Al-Hafiz Ibn. Hajar ialah mereka yang menjalankan urusan pemerintahan negara. Pandangan ini disokong oleh Hadis yang diriwayatkan Abdullah Omar yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan berada di atas mimbar yang diperbuat dari cahaya, di sebelah kanan Tuhan yang bersifat Rahman (mereka ialah) orang yang berlaku adil dalam hukuman mereka, keluarga mereka dan orang-orang yang di bawah tanggungjawab mereka"


Dalam Hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Makhluk yang paling dikasihi oleh Allah ialah Imam yang adil dan makhluk yang paling dibencinya ialah Imam yang zalim".


Oleh itu sudah sewajarnya pemimpin-pemimpin politik memikir sejenak apakah mereka telah melaksanakan tanggungjawab untuk menegakkan keadilan dan berusaha untuk memperbetulkan ketidakadilan yang berlaku sama ada dalam negara mahupun dalam kancah politik antarabangsa. Tanggungjawab ini amat penting demi masa depan umat Islam dan dunia keseluruhannya. Keadilan politik tidak akan tercapai sekiranya umat Islam terus menerus bertelagah sesama sendiri. Sudah sampai masanya dunia Islam perlu bersatu supaya dapat keluar sebagai salah satu kuasa besar yang setanding dengan kuasa besar yang ada sekarang ini sekurang-kurangnya.

No comments:

Post a Comment