Friday, October 9, 2009

PENGARUH POLITIK ISLAM

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Perkataan pengaruh dewasa ini sering menarik perhatian umum. Dalam ilmu politik, pengaruh mempunyai kaitan yang erat dengan kuasa. Pengaruh adalah suatu alat kuasa yang amat penting untuk mengekalkan kedudukan seseorang itu. Tanpa pengaruh adalah mustahil seseorang pemimpin itu boleh mempertahankan kuasanya.


Pengaruh dalam erti kata umumnya adalah satu keadaan di mana seseorang cuba membuat orang lain menyukainya atau menyokongnya. Misalnya A boleh mempengaruhi B sekiranya kehendak A menyebabkan perubahan pada tingkahlaku B.


Dalam dunia hari ini, seseorang akan melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi orang lain bagi mencapai dan memenuhi cita-citanya tanpa memperdulikan sama ada cara untuk mendapatkan pengaruh itu bercanggah dengan norma-norma hidup atapun tidak. Apa yang penting bagi mereka ialah untuk mengekalkan kuasa yang telah atau yang akan diperolehi. Sesetengah orang menggunakan kekayaan untuk mendapatkan pengaruh. Ada juga yang menggunakan ilmu hitam atau sihir (bomoh) untuk menambahkan pengaruhnya.


Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh itu penting dalam hidup bermasyarakat. Pengaruh penting kepada manusia yang hidup berkumpulan untuk menjadi satu pasukan yang kuat. Dengan adanya pengaruh, ia boleh menjadi benteng yang kukuh untuk mempertahankan diri. Ibubapa mempengaruhi anak-anaknya untuk menghormati mereka melalui pendidikan. Guru mempengaruhi muridnya melalui ilmu yang diajarkan sehinggakan guru itu dihormati oleh muridnya.


Dalam peringkat yang lebih tinggi, pemimpin cuba mempengaruhi rakyat untuk mengekalkan kedudukannya dengan melaksanakan pembangunan negara. Dalam pilihanraya, pemimpin-pemimpin yang bertanding akan cuba mempengaruhi orang ramai dengan menjanjikan kemudahan-kemudahan yang akan diperolehi oleh mereka. Janji-janji yang tidak dikotakan merupakan satu etika yang tidak digalakkan dalam politik Islam.


Namun demikian, pengaruh boleh membawa keburukan jika tidak digunakan mengikut saluran yang betul. Mencari pengaruh dengan cara yang tidak betul akan menjerumuskan seseorang itu ke kancah kehinaan. Misalnya, pengaruh melalui paksaan, rasuah, penindasan, kezaliman dan lain-lain lagi.


Rasulullah s.a.w. ketika menyebarkan pengaruh Islam di kalangan penduduk Mekah dan Madinah serta jiran-jirannya, sentiasa menggunakan strategi yang diplomatik, akhlak yang mulia, berlemah lembut, sopan-santun dan penuh hikmah. Baginda menunjukkan contoh teladan yang baik.


Apa yang Baginda sampaikan ialah tentang kebesaran, keagungan dan keindahan agama Allah s.w.t. Itulah kempen dan janji-janji Baginda. Baginda tidak pernah menawarkan harta benda, intan berlian atau menggunakan bomoh (sihir) untuk orang ramai mengikutinya. Sama ada masyarakat ketika itu mahu mengikutinya atau tidak, terpulanglah kepada mereka kerana tiada paksaan dalam Islam. Apa yang penting bagi Baginda ialah mesej Islam dan kebesaran Allah s.w.t. mesti disampaikan.


Cemuhan dan cabaran yang diterima tetap dihadapi dengan sabar. Namun, untuk menggunakan pengaruh yang bertentangan dengan norma-norma dan etika Islam, tidak sama sekali. Begitulah tegasnya pendirian Baginda.


Hal yang sama berlaku ketika Baginda menyebarkan pengaruh Islam di kalangan negara-negara jiran yang bukan Islam ketika itu seperti Negus Al-Asam (raja Habsyah), Heraklius (raja empayar Rom) dan Kisra (maharaja Parsi). Surat-surat yang dihantar oleh Baginda penuh nada yang lembut dan hikmah serta tidak mengguriskan hati mereka. Apa yang terkandung dalam surat itu hanyalah dakwah mengajak mereka mengenali Islam dan menyembah Allah s.w.t.


Semua strategi yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk mempengaruhi mereka bukan hanya dihormati oleh musuh-musuh Islam malah Rasulullah s.a.w. menjadi orang yang sangat berpengaruh dan disegani. Begitu uniknya strategi pengaruh Rasulullah s.a.w. yang bermatlamatkan untuk menegakkan syariat Islam.


Dengan yang demikian, maka tidak hairanlah jika para orientalis mengakui akan kehebatan pengaruh Rasulullah s.a.w. Menurut Bernard Shaw, dunia sekarang ini sangat memerlukan seseorang seperti Muhammad sebab hanya dialah yang mampu memecahkan masalah yang paling sulit sekalipun sambil minum secawan kopi. Kenyataan ini seterusnya diakui oleh Michael H. Hart, seorang orientalis yang mencatatkan dalam bukunya "100 Tokoh Yang Berpengaruh Dalam Sejarah" mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia satu-satunya yang paling berpengaruh dalam sejarah umat manusia.


Dalam usaha mencari pengaruh, adakah kita menggunakan saluran yang betul dan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan? Apakah cara kita mempengaruhi orang ramai menjadikan mereka lebih rapat taqwanya kepada Allah s.w.t., demi menegakkan syariat Islam yang mulia itu?


Umat Islam hari ini telah menyaksikan perpecahan dan pertentangan sesama sendiri untuk mencari pengaruh. Mereka berlumba-lumba mencari pengaruh tanpa menghiraukan cara untuk mendapatkannya. Matlamat menghalalkan cara. Kaedah Machiavelli kembali hidup dalam pemikiran manusia. Pengaruh mesti dicari dalam apa keadaan pun hatta terpaksa menggunakan unsur-unsur paksaan. Mencari pengaruh tidak lagi berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah, tetapi dikuasai oleh hawa nafsu semata-mata. Wang ringgit dicurahkan demi untuk mengekalkan dan menambahkan pengaruh. Rasuah bermaharajalela. Tidak kurang juga yang menggunakan kuasa yang ada untuk mengekalkan pengaruh. Kuasa yang ada digunakan sewenang-wenangnya untuk mengekalkan sokongan rakyat. Fitnah-menfitnah menjadi sesuatu yang rasmi dalam mencari pengaruh. Prinsip-prinsip ikhlas dan amanah tidak dihiraukan lagi. Oleh itu, dalam keghairahan mencari pengaruh, prinsip-prinsip mulia mesti disemaikan di dalam diri.


Para ulamak dan cendekiawan Islam menggunakan beberapa pendekatan dalam mencari pengaruh ketika berpolitik. Ini tidak lain dari mengikuti jejak-jejak Rasulullah s.a.w. Kalau orientalis barat telah mengakui kehebatan Rasulullah s.a.w., bagaimana pula dengan kita sebagai umatNya? Oleh yang demikian, beberapa perkara berikut hendaklah diambilkira ketika mencari pengaruh politik. Antaranya ialah:

i) Pemimpin hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik dan mulia.

ii) Bertanggungjawab kepada orang yang lebih tinggi kedudukan.

iii) Bermatlamat untuk menegakkan syariat Islam. Ini adalah amat penting untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

iv) Jangan bangga diri, elakkan diri dari mengecam atau memandang rendah kepada orang lain. Sabda Rasulullah s.a.w.

"Yang paling kukhuatiri pada umatku di kemudian hari adalah satu iaitu syirik kecil!" Para sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu, ya Rasulullah"? Baginda menjawab:"Iaitu riak (membanggakan diri dan merendahkan orang lain)!"

v) Jangan terlalu bersikap memerintah kerana setiap orang tidak suka diperintah. Elakkan diri dari berkata: "Buat ini, buat itu".Tetapi berkatalah: "Apakah anda bersedia melakukan ini"?

vi) Selalu memberi pujian dengan ikhlas dan berbudi pekerti mulia. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya;

"Orang tidak bisa mempengaruhi orang lain, baik dengan hartanya mahupun dengan jiwanya, akan tetapi orang yang mudah mempengaruhi orang lain dengan mukanya yang ikhlas dan budi yang baik"

vii) Menghargai pendapat orang lain dan rendah diri. Sabda Rasulullah s.a.w.

"Tidaklah harta itu akan ditambah oleh Allah akan seseorang, kecuali kemuliaan. Dan tidaklah seseorang yang merendahkan dirinya kerana Allah, melainkan akan ditinggikan oleh Allah" (Riwayat Muslim)

viii) Berlemah lembut dan menyenangkan hati orang lain. Ibnu Mas'ud dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Termidzi, Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Tahukah anda semua, siapakah yang diharamkan neraka kepadanya"? Para sahabat menjawab: "Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui" Baginda bersabda: "Neraka itu diharamkan bagi orang yang lemah lembut, mudah dalam pergaulan, menyenangkan dan bersemangat kekeluargaan".

ix) Sentiasa ingat orang lain. Setiap orang suka diperhati. Rasulllah s.a.w. selalu mendahului ucapan salam dan menghulurkan tangannya kepada orang lain yang ditemuinya. Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah:

"Apa yang terbaik dalam Islam, ya Rasulullah"? Nabi menjawab: "Memberi salam, baik terhadap orang yang anda kenal atau yang anda tidak kenal". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

x) Serikan wajah dengan senyum yang ikhlas.

xi) Lihat kelebihan orang lain daripada melihat kekurangannya. Setiap orang ingin dianggap baik dan penting.


Berdasarkan beberapa prinsip yang telah diwariskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya, maka sewajarnya kita meninggalkan sifat-sifat yang negatif untuk mencari pengaruh. Antaranya :

i) penggunaan pengaruh janganlah sampai menggadai dan mempersendakan agama, bangsa dan negara. Agama hendaklah dijadikan alat sebaran (dakwah) bukan alat untuk mencapai matlamat tertentu.

ii) menggunakan wang ringgit atau harta kekayaan tidak digalakkan oleh Islam.

iii) Menaburkan janji-janji tanpa dikotakan tidak digalakkan Islam. Begitu juga dengan penipuan.
iv) Hindarkan diri dari menggunakan sihir (bomoh) kerana ia boleh membawa kepada syirik

v) Mengecam, menghina atau cuba menjatuhkan peribadi orang lain demi kepentingan diri sendiri adalah gejala yang patut dielakkan.


Akhirnya, dalam mencari pengaruh politik, Al-Quran dan As-Sunnah mesti dijadikan pegangan. Rasulullah s.a.w. adalah contoh ikutan hingga ke akhir zaman. Baginda adalah pemimpin dan setiap pemimpin haruslah memiliki iman dan akhlak yang tinggi sebagaimana Baginda, sebab Baginda adalah pemimpin yang paling sempurna iman dan akhlak. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,

"Dan sesungguhnya Engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti agong".(Al-Quran 68: 4)

"Maka kerana rahmat dari Allahlah engkau (Muhammad) bersikap lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya Engkau bersikap kasar lagi keras, nescaya mereka akan menjauhimu".(Al-Quran 3: 159)


Oleh itu, sebagai generasi yang bercita-cita melanjutkan risalah Rasulullah s.a.w., sudah sewajarnya kita meneladani apa yang telah dianjurkan oleh Baginda. Sekiranya prinsip-prinsip asas dalam mencari pengaruh diikuti, matlamat untuk mewujudkan suasana politik yang stabil dan harmoni akan tercapai.

No comments:

Post a Comment