Friday, October 9, 2009

Sistem Politik Islam

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Politik, mengikut pengertian secara umum adalah suatu sistem pemerintahan negara yang melibatkan hubungan antara rakyat dengan institusi kekuasaan. Secara langsung ia berkait rapat dengan soal-soal seperti cara mendapatkan kuasa, kepimpinan, pengaruh, kedaulatan dan lain-lain lagi. Semuanya ini telah diakui oleh pemikir-pemikir agong politik Islam seperti Ibn. al Muqaffa, Abu Yusuf, Al Jahiz, al Farabi, al Mawardi, al Ghazali, Ibn. Taimiyyah, Ibn. Jamaah dan sebagainya. Mereka mengakui Islam sebagai agama yang syumul yang melibatkan seluruh aspek kehidupan manusia, tidak pernah sekali-kali memisahkan antara kehidupan politik dan agama. Kedua-duanya mempunyai perkaitan yang rapat dan kukuh serta saling lengkap melengkapi. Kalau tiada salah satu daripadanya, maka akan pincanglah yang satu lagi.


Sistem politik Islam adalah ibarat sistem saraf di dalam diri seseorang manusia. Jika saraf rosak maka perjalanan badan menjadi tidak betul dan tidak tepat serta boleh jadi merosakkan diri manusia itu sendiri. Demikianlah eratnya pertalian Islam dengan politik. Sistem politik dalam Islam adalah bertujuan,

Pertama, untuk mengelakkan terjadi eksploitasi antara manusia, kelompok atau kelas dalam masyarakat;

Kedua, untuk memelihara kebebasan (ekonomi, politik, pendidikan, agama dan lain-lain lagi);

Ketiga, untuk menegakkan sistem keadilan sosial yang seimbang sebagaimana dikehendaki al Quran;

Keempat, untuk membenteras setiap kejahatan dan mendorong setiap kebajikan yang dengan tegas digariskan al Quran,

Kelima, menjadikan negara sebagai tempat tinggal yang aman sentosa tanpa diskriminasi dan sebagainya.


Namun demikian, kita mula dilanda kebimbangan apabila munculnya fahaman yang memisahkan agama dan politik mulai mendominasi fikiran umat Islam. Ini mungkin disebabkan oleh pengaruh barat yang amat kuat semenjak penjajahan berlaku di negara-negara Islam. Mereka menafikan peranan agama dalam politik. Bagi mereka, tiada sandaran agama dalam urusan pemerintahan.


Keadaan ini mungkin dipengaruhi oleh gerakan yang berlaku di Eropah suatu ketika dahulu yang memisahkan gereja daripada aktiviti masyarakat. Ini dilakukan pada pertengahan kurun ke enam belas di bawah gerakan pembaharuan agama yang diketuai oleh Luther dan Calvin. Pembaharuan ini disebabkan oleh penyelewengan pihak gereja yang memeras rakyat yang akhirnya menyebabkan rakyat bangun dan menentang campurtangan gereja dalam urusan pemerintahan. Kata-kata: "Berilah hak Kaisar untuk Kaisar dan hak Tuhan untuk Tuhan" semakin mendominasi fikiran mereka ketika itu.


Implikasi daripada pengasingan ini muncul akhirnya gerakan yang membebaskan fikiran manusia dari semua ikatan agama. Akhirnya berlaku sekularisma di seluruh dunia sehingga ke hari ini. Dengan itu tidak hairanlah sekiranya sarjana-sarjana politik barat seperti Plato, Aristotle, Machiavelli dan sebagainya tidak mengaitkan kepentingan agama di dalam berpolitik. Gerakan dan ide-ide seperti ini amatlah bertentangan sekali dengan sistem politik Islam.


Menurut Imam al Ghazali agama dan negara adalah dua yang berkembar. Agama merupakan asas dan pokok pangkal manakala pemerintah pula adalah pengawal dan sesuatu yang tidak mempunyai asas maka dengan sendirinya runtuh dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal dengan sendirinya hilang dan luput.


Politik adalah untuk membaiki urusan manusia dengan cara memberi petunjuk kepada mereka ke arah jalan yang lurus yang menyelamatkan mereka di dunia dan di akhirat. Pembentukan kerajaan adalah menjadi kewajipan kepada manusia. Ini kerana, Allah tidak akan meninggalkan manusia tanpa perkara yang mesti ada buat mereka juga sesuatu yang tanpanya mereka tidak dapat hidup, dengannyalah mereka mengawal musuh, membahagikan-bahagikan hadiah, menyatukan kumpulan dan perhimpunan-perhimpunan mereka serta menegah mereka yang zalim dari melakukan kezaliman terhadap yang lain. Alasan ini juga mengandungi hakikat bahawa sekiranya Tuhan tidak melantik Imam yang lurus, jujur dan pemelihara serta pendamai maka pupuslah bangsa, lenyaplah agama, berubahlah peraturan-peraturan dan undang-undang, bertambahlah di dalamnya orang-orang bidaah.


Jelasnya, politik Islam amat mementing kesatuan masyarakat Islam, adanya persaudaraan yang kuat yang menghubungkan antara individu masyarakat Islam, kepatuhan kepada Islam bukan atas dasar kebangsaan, qabilah, kaum atau keluarga dan memberi kebebasan beriqtikad (mempercayai agama). Dalam kata lain, berpolitik dalam Islam adalah untuk memberi petunjuk ke arah jalan yang membawa kebaikan dan kebahagiaan insan dunia dan akhirat.


Apabila politik dikaitkan dengan akhirat maka sudah pasti pemerintah yang mengetuai satu-satu sistem politik itu berhati-hati dalam setiap tindakannya. Tindakan mereka patutlah bersandarkan kepada apa yang diperintahkan oleh Allah melalui Al Quran dan utusanNya, Rasulullah s.a.w.. Tindak tanduk pemerintah haruslah berpandukan garis panduan ini. Al Quran dan as Sunnah adalah petunjuk manusia sepanjang zaman. Politik Islam mestilah berpandukan kepada rujukan asas ini dalam mencorakkan pemerintahan. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak termaktub dalam al Quran dan as Sunnah, ketika itu adalah menjadi tanggungjawab ulamak-ulamak untuk berijtihad akan sesuatu hukum itu.


Di sini terdapat perbezaan yang amat ketara antara sistem politik Islam dengan sistem politik ciptaan manusia, misalnya sistem demokrasi yang tidak terkawal. Di dalam sistem demokrasi rakyat diberi hak sepenuhnya untuk menentukan corak pemerintahan. Sekiranya kehendak rakyat itu bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan maka ia tetap menjadi sumber kedaulatan yang mesti dipatuhi. Keadaan ini banyak berlaku di negara-negara barat barat. Banyak undang-undang yang diluluskan berdasarkan logik akal.


Akal yang tidak berpandu petunjuk dari Tuhan pastinya akan menjerumuskan manusia ke jalan kehinaan. Begitu juga dalam pemerintahan bersifat kuku besi seperti komunis. Pemerintah mempunyai kuasa sepenuhnya untuk menentukan kehidupan rakyatnya. Kalau sesuatu undang-undang itu dikirakan sesuai oleh pemerintah maka ia tetap menjadi sumber kedaulatan di mana ia memerlukan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyatnya. Ini menyebabkan kadangkala hanya sekelompok kecil masyarakat yang menikmati faedah dari sistem tersebut dan sebahagian besar masyarakat tertindas.


Ajaran Islam tidaklah begitu rigid pendekatannya di dalam menangani sistem politik ciptaan manusia tersebut, kehendak rakyat di dalam Islam mempunyai pembatasan, tidak bebas secara mutlak. Rakyat adalah diperintah bukan memerintah. Semua urusan adalah kembali kepada Allah dan semua hukum bertitik tolak daripada Allah. Apa yang diharamkan oleh Allah kepada hambanya maka tiada ada seorangpun dari mereka yang boleh menghalalkkannya, walaupun majoriti umat atau seluruh mereka mahu berbuat demikian. Dengan itu hak-hak asasi manusia serta alam sekitar amnya terkawal dan terpelihara.


Kenyataan ini turut disokong oleh seorang ulamak dan pemikir politik, Abu Ala Maududi, mengatakan sistem politik Islam tidak secara total menolak sistem politik ciptaan manusia seperti sistem demokrasi. Demokrasi ada dalam Islam. Tetapi mesti ada asasnya. Asas inilah menyebabkan sistem pemerintahan Islam dinamakan sebagai teo-demokrasi. Muhammad Natsir, pemimpin agong Nusantara di Indonesia pula menamakan sistem pemerintahan sebagai `theistic democracy'. Walau apapun nama diberikan, namun pengertian dan matlamat yang hendak dicapai adalah sama.


Mengikut kedua konsep ini, Islam memberikan kedaulatan kepada rakyat akan tetapi kedaulatan itu tidak mutlak kerana dibatasi oleh norma-norma yang datang dari Tuhan. Islam tidak menggantungkan semua urusan kepada asas demokrasi, Islam bukan 100 peratus, bukan otokrasi 100 peratus, Islam itu...Islam. Dengan kata lain, kedaulatan rakyat terbatas di bawah pengawasan Tuhan. Perlaksanaan demokrasi haruslah memberikan hak kepada rakyat yang dipimpin untuk mengkritik dan menegur pemerintah. Hal ini selaras dengan ajaran Islam yang memberikan hak kepada rakyat untuk menentang kezaliman dan kekerasan.


Sejarah moden juga menunjukkan bahawa tanpa pedoman wahyu, manusia terbukti mudah terjerumus ke lembah kezaliman dan kehancuran. Perang Dunia Pertama dan Kedua adalah contoh yang paling jelas. Manusia moden menyisihkan pedoman hidup yang berasal daripada Tuhan dengan berbunuhan sesama sendiri. Demikian juga kehidupan berpolitik, kita tetap memerlukan kepada Tuhan.


Bila norma norma Tuhan sampai kita singkirkan , kita akan mengelola negara sesuai dengan kemahuan kita sendiri, sesuai dengan nafsu dan kecenderungan gila kekuasaaan yang ada dalam diri kita. Bukan lagi keadilan sosial, kesejahteraan masyarakat dan persamaan di antara sesama manusia yang kita pentingkan sebagaimana yang diperintahkan oleh Tuhan.


Ibn. Khaldun dalam bukunya bertajuk Muqaddimah membuat perbezaan antara manusia yang tunduk kepada undang-undang ciptaan manusia dengan manusia yang tunduk kepada undang-undang Allah kalaulah undang-undang itu digubal oleh ahli-ahli akal dan pembesar-pembesar negara serta pakar-pakarnya maka itu adalah siasah akal. Tetapi kalaulah undang-undang itu diwajibkan oleh Allah , diakui dan diisyaratkan maka ianya adalah siasah agama, yang memberi manfaat kepada kehidupan dunia dan akhirat .


Ini kerana kejadian makhluk bukan sahaja bermaksud untuk kebaikan dunia dunia semata-mata kerana ia adalah bersifat sementara. Manusia kesudahannya akan mati dan binasa. Akhirat adalah kehidupan yang abadi. Shuraih meriwayatkan yang Khalifah al Khattab pernah berkata kepadanya: Hukumlah menurut hukuman yang jelas dari Rasulullah s.a.w. Jika kamu tidak mengetahui semua hukuman-hukuman Rasulullah maka hukumlah menurut hukum yang jelas dari imam-imam yang mendapat hidayat. Jika kamu masih tidak mengetahui adanya keputusan mereka maka ijtihadlah dengan fikiran kamu dan bermesyuaratlah dengan ahli-ahli ilmu dan orang-orang yang baik.


Pemerintah hanyalah sebagai seorang individu rakyat tetapi ia lebih berat menanggung beban dan lebih banyak bertanggungjawab. Adalah menjadi kewajipan kepadanya mempastikan kehidupan rakyat terjamin. Justeru itu, pemerintah yang menduduki hiraki yang tertinggi dalam sistem politik seharusnya mengambil konsep sentiasa takut kepada Allah s.w.t. Konsep ihsan adalah amat penting diamalkan yakni kalau kita tidak melihat Allah anggaplah Allah sentiasa melihat pergerakan kita. Bila konsep ini telah diamalkan secara otomatik akan wujud rasa ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Apabila rasa ketaqwaan telah bersemadi di dalam jiwa setiap pemerintah dan rakyat maka akan lahir sebuah negara aman sentosa serta mendapat keredhaan Allah sw.t.


Sebagai kesimpulannya, Baginda Rasulullah s.a.w sebelum wafatnya telah menggariskan asas-asas tertentu di dalam bidang politik. Asas-asas ini memberi peluang kepada Khulafa Al Rasyidin selepasnya untuk menyempurnakannya berdasarkan kepada pengalaman yang mereka perolehi untuk menjamin keadilan dan kebebasan kepada manusia serta mengelakkan dari penindasan serta kezaliman dengan berpandukan kepada dasar-dasar umum yang digesa oleh Rasulullah s.a.w. Dasar-dasar tersebut boleh kita simpulkan dalam empat dasar pokok , iaitu:

i) Perasaan taat setia kepada umat Islam menggantikan taat setia kepada kabilah masing-masing. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Hendaklah kamu patuh dan taat, walaupun kamu diperintah oleh seorang hamba hitam, selagi ia menegakkan hukum-hukum Allah di kalangan kamu (Diriwayatkan oleh al Bukhari)

ii) Persaudaraan keagamaan merupakan asas bagi peraturan kemasyarakatan

iii) Seorang Muslim, biar apa sekalipun namanya, menggabungkan dalam satu masa antara kuasa dunia dan kuasa agama

iv) Bahawa Permesyuaratan di antara golongan pemerintah dan rakyat jelata merupakan cara yang diutamakan untuk menjamin perimbangan kemasyarakatan.


Asas ini pula haruslah pula disertai dengan ingatan daripada Allah s.w.t. dalam firmannya yangNya bermaksud;

"Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau beri kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (al Quran 3: 26)


Dengan adanya jalinan antara panduan dan ingatan Allah s.w.t., Nabi Muhammmad s.a.w., sahabat-sahabat Baginda serta alim ulamak, maka harapan untuk mewujudkan suatu sistem politik Islam yang sentiasa mendapat keredhaan Allah s.w.t. akan tercapai. Semoga dengan adanya asas-asas ini, umat Islam tidak lagi berpecah-belah antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment