Friday, October 9, 2009

KEPIMPINAN POLITIK ISLAM

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Kehidupan manusia di dunia ini tidak cukup hanya dengan menunaikan rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang lima waktu, puasa, zakat dan haji. Lebih dari itu, Islam sebagai satu sistem hidup (way of life) mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia di dunia ini, termasuklah kepemimpinan dalam politik. Kepemimpinan politik amat penting sekali dalam Islam untuk kesejahteraan umat dunia dan akhirat. Negara adalah suatu yang perlu wujud untuk kesentosaan beragama. Tidak akan terdiri agama tanpa adanya negara dan pemimpin yang akan melindunginya.


Pemimpin yang menerajui sesebuah negara adalah amat penting sekali untuk mempastikan negara yang ditadbirkannya mencapai kemajuan dalam segala aspek sama ada kerohanian atau kebendaan. Pemimpin ibarat nakhoda dalam sebuah kapal. Nakhoda inilah yang akan mempastikan kapal tersebut sampai ke destinasinya dengan selamat. Begitu jugalah dengan pemimpin atau pemerintah dalam sesebuah negara. Tanggungjawab yang dipikulnya adalah amat berat untuk mempastikan negara mencapai kemajuan. Lantaran itu, Allah s.w.t. mengutuskan Rasulullah s.a.w. dengan sifat-sifat yang mulia untuk menyelamatkan manusia melalui agama Islam yang dibawanya.


Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., Saidina Abu Bakar berucap di hari perjumpaan di Saqifah, "Sesungguhnya Muhammad telah pergi dan urusan ini mesti ada orang yang menjalankannya". Pandangan ini disetujui oleh orang Islam dan tidak seorangpun yang mengatakan bahawa Islam itu boleh bergerak tanpa ada seorang pemimpin yang menjalankannya.


Ibnu Khaldun menyatakan dalam Muqaddimah sesungguhnya melantik seorang imam (pemimpin negara) hukumnya adalah wajib. Kewajipan ini berasaskan ijmak para sahabat dan tabi'en. Para sahabat Rasulullah, selepas baginda wafat, dengan cepat telah memberikan bai'ah kepada Saidina Abu Bakar dan menyerahkan kepadanya tugas untuk menguruskan soal umat. Demikian juga berlaku selepasnya dan tidak pernah orang ramai dibiarkan dalam keadaan huru-hara tanpa pemimpin.


Firman Allah s.w.t.;

"Dan Dialah yang menjadikan kamu Khalifah-khalifah (penguasa-penguasa) di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat untuk menguji kamu tentang apa yang diberikan kepada kamu. Sesungguhnya Tuhan kamu amat cepat siksaannya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"(al An'am: 165)


Hadis riwayat Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

"Masing-masing kamu adalah penjaga dan masing-masing kamu bertanggungjawab terhadap penjagaannya, raja yang memimpin manusia adalah penjaga, dia bertanggungjawab ke atas rakyatnya, laki-laki adalah penjaga, dia bertanggungjawab kepada keluarganya, perempuan juga penjaga kepada rumah suaminya dan anak suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, hamba sahaya juga penjaga terhadap harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadapnya. Ingatlah semua kamu penjaga dan semua kamu bertanggungjawab terhadap yang dijaga."


Sarjana Politik Islam, Al-Mawardi dalam kitabnya, Al-Ahkam Al-Sultaniah menyebut Imamah (kepimpinan) itu diletakkan untuk melaksanakan kewajipan khalifah (pengganti) selepas kenabian dalam perkara memelihara agama dan mentadbir urusan dunia. Imam al Ghazali dalam kitabnya Iktisad fil Iktikad berkata agama adalah dasarnya, pemimpin adalah pengawas kepada negara dan sesuatu yang tidak ada dasar dan pengawasnya adalah sia-sia.


Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Siasah Syarie'yyah berkata mengendalikan urusan manusia termasuk di dalam perkara wajib yang besar di antara perkara-perkara yang diwajibkan oleh agama. Bahkan agama tidak akan tegak tanpanya. Sesungguhnya kepentingan anak Adam tidak akan sempurna kecuali dengan bermasyarakat kerana mereka saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Ketika bermasyarakat mereka mestilah mempunyai pemimpin.


Pandangan-pandangan ini mengingatkan kita betapa beratnya tanggungjawab seorang pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya. Ia memperingatkan beban yang diserahkan kepada pimpinan untuk dilaksanakan. Ungkapan-ungkapan itu menghubungkan manusia dengan alam sejagat, dengan kehidupan dunia dan akhirat.


Tanggungjawab pada pandangan Islam adalah sangat agung, bidangnya pula amat luas, kepentingannya melibatkan semua lapisan rakyat. Maka yang bertanggungjawab dalam hal ini ialah pemimpin yang benar. Pemimpin selamanya tidak akan terlepas daripada tanggungjawab itu yang mestilah dilaksanakan dengan penuh keadilan. Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a.;

"Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah, di bawah naunganNya yang tiada naungan pada hari itu kecuali naunganNya sahaja: Imam yang adil... "


Kepimpinan itu adalah amanah yang besar seperti yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. maksudnya:

"Abu Dzar berkata : "Hai Rasulullah! Tidakkah Tuan memberi jawatan kepada saya". Baginda lalu meletakkan tangannya di atas bahu saya kemudian baginda berkata: "Hai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah, sesungguhnya jawatan pada hari kiamat itu merupakan kerugian dan penyesalan kecuali orang yang mengambilnya dengan penuh bertanggungjawab"(Riwayat Muslim dan Abu Daud)


Jika kita mengikuti sifat kepimpinan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w., kita dapat mengetahui akan pentingnya tanggungjawab dan besarnya amanah pemerintahan.


Imam al Ghazali menggariskan 10 perkara pokok yang perlu diikuti oleh pemimpin ketika menjalankan pemerintahannya:

i) Dalam setiap kes, pemimpin hendaklah meletakkan dirinya supaya bersesuaian dengan semua aliran dan golongan rakyat walaupun terdapat perbalahan di antara mereka;

ii) Pemimpin hendaklah memenuhi harapan orang-orang yang datang kepadanya untuk mendapatkan keadilan;

iii) Keadilan hanya akan menjadi kenyataan sekiranya pemimpin mengelakkan diri daripada membazir dan kehidupan yang keterlaluan;

iv) Pemimpin hendaklah bersikap terbuka dan lemah lembut, bukan bersifat ganas dan kasar dalam urusan rasminya;

v) Pemimpin hendaklah berusaha supaya perkara-perkara yang dijalankan sesuai dengan hukum agama;

vi) Pemimpin tidak harus tunduk kepada sesiapapun dalam menegakkan keadilan dalam agama;
vii) Pemimpin hendaklah menjaga kebaikan rakyatnya sama seperti dia menjaga kebajikan dirinya sendiri;

viii) Pemimpin hendaklah berusaha berdamping dengan rakyatnya dan menggalakkan mereka menyuarakan hak-haknya;

ix) Pemimpin hendaklah mengawasi kakitangan, hakim dan pegawai-pegawai yang lain supaya mereka menjalankan masing-masing dengan jujur dan amanah; dan

x) Pemimpin hendaklah menggunakan kuasa yang diperolehi dengan tujuan-tujuan yang baik.


Pandangan yang disuarakan oleh Imam al Ghazali adalah serasi dan tidak banyak bezanya dengan pendapat yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana bukan Islam seperti Plato dan Confucius. Perbezaan yang ketara antara mereka hanyalah dari segi matlamat yang hendak dicapai. Politik dalam Islam bermatlamatkan keredhaan Allah s.w.t. dunia dan akhirat, dan ini tidak ditekankan dalam agama-agama lain.


Menurut Plato, seorang ahli falsafah barat, pemimpin dianggap sebagai ahli falsafah (pemerintah) kerana tanggungjawabnya amat berat. Memerintah dan mengarah negara adalah tugas yang sukar tetapi penting. Pemimpin mesti melaksanakannya dengan sebaik-baiknya. Kepercayaan mesti diberikan kepada orang yang mempunyai keupayaan yang tinggi. Dalam bukunya yang bertajuk Republic, Plato mengemukakan persoalan pemilihan dan latihan pemerintahan bagi sesebuah negara yang unggul. Pendidikan memainkan peranan amat penting di dalam mengekalkan dan membentuk sistem pendidikan. Oleh itu menurut Plato, ahli falsafah adalah tokoh yang paling baik untuk menjadi pemimpin atas sifatnya yang cintakan ilmu dan bijaksana.


K'ung Fu-tzu atau lebih dikenali dengan nama Confucius percaya bahawa pemimpin mesti menjadi contoh teladan kepada orang yang dipimpin. Seperti juga dalam satu keluarga ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anaknya. Keluarga yang baik merupakan asas dalam membentuk masyarakat. Begitu juga dengan tanggungjawab seorang pemimpin. Ia perlu menjadi contoh teladan kepada rakyat yang dipimpinnya. Confucius menggariskan lima kecemerlangan yang sepatutnya diikuti oleh pemimpin iaitu :

i) Apabila orang yang berkuasa berlaku baik tanpa banyak perbelanjaan.

ii) Apabila dia memberi tugas kepada orang dan mereka berpuas hati

iii) Apabila dia meneruskan keinginannya dan mereka tidak cemburu

iv) Apabila dia mengekalkan maruah tanpa menjadi sombong

v) Apabila dia menghukum tanpa bersikap kejam.


Di samping itu juga, pemimpin juga harus menolak empat perkara

i) Menghukumkan mati orang tanpa menyiasatnya,ini adalah kekejaman

ii) Meminta dibuat kerja yang banyak tanpa had, ini adalah penindasan

iii) Mengeluarkan perintah tanpa usul-periksa dan apabila tiba masanya melaksanakan perintah itu dengan keterlaluan sekali, ini adalah kelukaan.

iv) Memberi ganjaran tetapi dengan cara kedekut, ini adalah rasmi


Pandangan-pandangan ini memang ada kebenarannya kalau ditinjau kepada realiti yang berlaku pada hari ini. Ramai di kalangan pemimpin-pemimpin sesebuah negara yang menggunakan kuasa yang dimiliki dengan sewenang-wenangnya. Akibatnya, berlakulah ketidakstabilan sistem politik sesebuah negara itu. Sejarah telah banyak membuktikannya. Regim komunis ternyata tidak dapat bertahan lama akibat penindasan terhadap hak-hak kebebasan rakyat. Begitu juga dengan sistem demokrasi yang tidak terkawal yang akhirnya kebebasan yang menjadi konsep asas demokrasi telah menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan.


Justeru itu, rakyat mesti memastikan pemimpin mereka tidak menggunakan kuasa dengan sewenang-wenang. Pemimpin mestilah seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, sanggup berkorban masa dan tenaga untuk kemajuan masyarakat dan negara. Pemimpin yang mempunyai budi pekerti yang baik serta tinggi nilai peribadinya akan tetap dihormati dan disanjungi. Pemimpin yang berwibawa akan memikirkan cara-cara untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam negara. Pemimpin adalah bertanggungjawab mengatur segala bentuk strategi untuk kepentingan umum dari segi keselamatan, keamanan dan yang lebih penting lagi ialah rasa tanggungjawab dan rasa keselesaan rakyat yang hidup.


Sesebuah negara memerlukan satu sistem politik yang mantap yang akan memberikan segala garis panduan dan peraturan dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Pemimpin mestilah benar-benar berkelayakan, berwibawa dan mempunyai mandat untuk memerintah. Lebih penting lagi, pemimpin mestilah sentiasa menghubung dirinya secara langsung dengan Allah s.w.t. supaya tingkah lakunya sentiasa terkawal atas batas-batas yang telah ditetapkan.


Ini kerana terdapat juga negara yang mempunyai pemimpin yang tidak berfungsi sebagai pemimpin yang sebenarnya. Ia hanya berperanan sebagai lambang kekuasaan, keunggulan dan kebesaran sahaja. Oleh itu sebagai rakyat kita patut menggunakan hak yang ada untuk memastikan pemimpin yang dipilih benar-benar berwibawa dan berkualiti demi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment