Friday, October 9, 2009

Kuasa Politik Islam

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Kuasa adalah elemen penting dalam politik. Kuasa politik sering didefinisikan sebagai pengaruh dan hak mutlak seseorang berhubung dengan pemerintahan. Ia boleh dilihat sebagai satu perhubungan psikologi di antara dua pihak iaitu pihak yang berkuasa dan pihak yang dikuasai atau dalam kata lain antara pemerintah dengan yang diperintah. Ini seterusnya akan melibatkan masalah merebut dan mempertahankan kuasa. Pertentangan kuasa (power struggle) biasa wujud apabila berlaku ketidaksefahaman antara kedua belah pihak. Pendek kata, kuasa merupakan satu keperluan demi menjamin pemerintahan sesebuah negara mencapai matlamatnya.


Menurut perspektif barat, sebaik sahaja manusia bertamadun, kuasa adalah menjadi matlamatnya. Kuasa boleh didapati dengan berbagai cara. Machiavelli berkata untuk mendapat kuasa seseorang itu boleh melakukan apa sahaja walaupun ia bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia. Menurutnya lagi, oleh kerana kuasa itu menjadi matlamat, segala pertimbangan lain, termasuk keadilan, kemanusiaan dan sebagainya mestilah tunduk di bawah perkiraan kuasa. Agama boleh dibelenggukan jika ia membantutkan usaha-usaha politik. Ukuran kebaikan hanya diukur dari "kekuasaan adalah kebenaran" atau "might is right". Inilah yang rata-rata berlaku dalam politik dunia yang dikuasai oleh pihak-pihak yang tamak kuasa pada hari ini.


Kuasa politik antarabangsa digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menyelamatkan kepentingannya dengan menindas golongan yang tidak berupaya. Ini bertepatan sekali dengan apa yang dikatakan oleh sarjana barat, Max Weber bahawa kuasa bertujuan untuk memenuhi cita-cita seseorang atau segolongan walaupun ditentang oleh orang lain. Seterusnya diakui oleh Robert A. Dahl bahawa kuasa adalah kebolehan seseorang pelakon dalam perhubungan antarabangsa menggunakan sumber-sumber dan asetnya untuk mempengaruhi keputusan atau peristiwa antarabangsa mengikut kehendaknya.


Menurut Fulbright, Amerika menggunakan taktik dengan memberikan segala kemudahan di samping memesongkan tujuan asalnya. Bantuan yang diberikan bertujuan membuatkan negara-negara tersebut pro kepada mereka. Kuasa yang ada disalahgunakan sehingga ada negara yang terpaksa menerima pengaruh Amerika kerana tidak berupaya menolaknya. Ini menyebabkan pihak barat begitu angkuh dengan kuasanya yang melebihi orang lain.


Begitu juga dalam sistem pemerintahan kuku besi, siapa yang gagah dan perkasa maka merekalah yang memegang tampok pemerintahan negara. Sejarah dunia telah membuktikannya. Pemerintahan kuku besi Hitler telah memakan korban yang tidak terkira ramainya. Ini dibuktikan lagi melalui kata-kata Karl Max bahawa kuasa politik adalah satu alat kelas pemerintah untuk mengekalkan penguasaan dan ekspoitasinya ke atas kelas yang lain.


Dalam Islam, kuasa bukanlah matlamat manusia yang bertamadun. Kuasa adalah satu alat untuk menjaga kesejahteraan agama dan manusia itu sendiri. Kuasa tidak boleh diperolehi dengan sewenang-wenangnya apatah lagi dengan kekerasan. Dengan sebab itu, Islam menggariskan syarat-syarat tertentu untuk mendapatkan dan menggunakan kuasa politik. Pemikir politik Islam, S. Abul Ala Al-Maududi, menggariskan beberapa kritiria dalam memilih pemimpin (ulil-amri) supaya kuasa yang diperolehi dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Kriteria-kriteria itu adalah seperti berikut :

i) Mereka itu haruslah orang-orang yang benar-benar percaya dan menerima baik prinsip-prinsip tanggungjawab yang diberikan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulmu dan ulil amri di antara kamu..."(An-Nisa 4: 59)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud,

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu, orang-orang yang di luar kalanganmu..."(Al-`Imran 3: 118)

ii) Mereka itu tidak boleh terdiri dari orang-orang zalim, fasik, fajir (orang yang melakukan dosa). Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,

"Dan janganlah kamu menaati perintah orang-orang yang melewati batas, yang membuat kerosakan di muka bumi dan tidak mengadakan perbaikan."(Asy-Syu'ara' 26: 151-152)

Firman Allah lagi yang bermaksud,

"... Sesunguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu ..."(Al-Hujurat 49: 13)

iii) Mereka tidak boleh terdiri dari orang-orang bodoh dan lembab, tetapi haruslah berilmu, sihat akal fikiran, memiliki kecerdasan, arif dan mempunyai kemampuan intelektual dan fizikal. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,

"... Mereka berkata: "Bagaimana ia (thalut) memerintah kami padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak. Nabi mereka berkata: "Sesungguhnya Allah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa..."(Al-Baqarah 2: 247)

iv) Mereka haruslah orang yang amanah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada orang yang berhak menerimanya"(An-Nisa'4: 58)


Setelah memenuhi kritiria-kritiria tersebut, mereka yang berkuasa haruslah memastikan penguasaannya memenuhi syarat-syarat berikut seperti yang digariskan oleh Ibnu Khaldun dan Al-Mawardi iaitu:

i) memelihara keimanan dalam prinsip-prinsipnya yang diakui oleh al-Salaf (umat yang terdahulu);

ii) melaksanakan keadilan di antara mereka yang bersengketa dan menyelesaikan masalah dalam hal-hal tertentu;

iii) menjamin keamanan wilayah supaya rakyat mendapat perlindungan dan hidup dengan selamat;

iv) melaksanakan hukuman yang telah ditetapkan oleh syari'ah serta memelihara lunas-lunas yang ditetapkan oleh Allah dan menjaga hak-hak makhluknya;

v) memperkuatkan sempadan wilayah dengan kelengkapan pencegahan dan menghindari keganasan;

vi) berjihad menentang mereka yang memusuhi Islam, setelah mengajak mereka memeluk Islam atau sesudah memberikan perlindungan sebagai rakyat bukan Islam, agar hak Allah tetap terpelihara selaras dengan penyempurnaan agama seluruhnya;

vii) mengenakan cukai dan memungut zakat serta bersedekah berdasarkan ketetapan hukum syari'ah;

viii) anggaran belanjawan gaji dan pembiayaan yang diperlukan dari perbendaharaan tanpa membazir;

ix) melantik seseorang yang berakhlak mulia dan berkemampuan untuk memegang jawatan yang diamanahkan bagi mengawasi harta kekayaan negara serta mentadbir masalah-masalah kenegaraan; dan

x) menyediakan penyeliaan peribadi dan pemeriksaan terhadap masalah umum, bagi memajukan bangsa dan melindungi agama.


Jelasnya, penggunaan kuasa dalam Islam adalah untuk kesejahteraan manusia dan menegakkan keadilan dalam negara yang bertunjangkan konsep keadilan dan demokrasi dalam sempadan-sempadan yang ditentukan agama, dan kedudukan manusia sebagai Khalifah Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"...Itulah aturan-aturan hukum Allah janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim"(Al-Baqarah 2: 229)


Ayat ini mengingatkan manusia bahawa penggunaan kuasa ada batas-batasnya yang tertentu yang tidak boleh dicemari. Jika sekiranya berlaku pertentangan kuasa, maka hendaklah kembali kepada yang Hak untuk mencari penyelesaian. Firman Allah yang berbunyi:

"Wahai orang -orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Kitab Allah (Al-Quran) dan benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya"(Al-Nisa 4: 59)


Di sinilah terletaknya perbezaan yang jelas antara sistem Islam dan sistem lain. Sistem demokrasi misalnya, diperjuangkan atas dasar kuasa manusia dan menganggap autoriti sebagai sumber hukum tanpa merujuk kepada petunjuk Tuhan Yang Maha Berkuasa yang menjadikan manusia. Dengan sebab itu tidak hairan jika berlaku diskriminasi yang menyebabkan pertentangan kuasa. Kuasa Politik Islam yang universal sifatnya boleh menjamin kepentingan umat keseluruhannya, tanpa seorangpun yang boleh berkuasa mutlak.


Jika pemerintah tidak terikat dengan dasar-dasar kesejahteraan sejagat yang dirangka oleh agama berdasarkan wahyu dan pemikiran manusia dalam sempadan-sempadannya yang ditentukan, maka pemerintah itu tidak akan dapat memberi keadilan kepada rakyat dan negara. Ahli fiqh bersetuju bahawa kuasa yang diberikan kepada pemerintah mestilah ditegakkan secara adil, syura, samarata dan menjaga maslahat orang ramai dalam perkara agama dan dunia. Sekiranya prinsip-prinsip kuasa politik itu dapat dihayati, Islam dapat membuktikan kepada dunia keupayaannya memberikan keadilan dan kesejahteraan kepada umat manusia seluruhnya.

No comments:

Post a Comment