Friday, October 9, 2009

MEMBINA KUALITI UMMAH

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Gejala keruntuhan moral yang kian serius keadaannya mulai membimbangkan dunia moden. Manusia yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan akal, tidak lagi bertindak mengikut rasional. Tindak tanduk mereka tidak lagi bersandarkan akhlak yang mulia tetapi mengikut hawa nafsu.


Berita mengenai jenayah seks yang berlaku di kalangan para pelajar sekolah belasan tahun di Amerika Syarikat adalah contoh mutakhir gejala keruntuhan moral yang sepatutnya menjadi renungan bersama. Lapan pelajar sekolah menengah telah ditahan oleh pihak polis atas tuduhan merogol atau menganiaya budak perempuan berusia 10 tahun. Mereka telah diberi sambutan yang hebat oleh rakan-rakan sekolahnya apabila dibebaskan dari tahanan. Seolah-olah mereka kagum dengan tindakan yang di luar sifat kemanusiaan itu. Sementara itu, di Britain, dilaporkan, dua orang kanak-kanak berumur 10 tahun telah membunuh seorang kanak-kanak berumur dua tahun. Peristiwa ini mulai dirasai oleh masyarakat Britain sebagai satu gejala yang amat membimbangkan mereka.


Sebelum ini, kita seringkali mendengar perlakuan sumbang seperti hubungan seks secara rambang antara ibubapa dengan anak-anak dan antara adik-beradik tanpa mengenal erti pertalian darah, isu penagihan dadah, rasuah, penyelewengan, perjudian dan lain-lain lagi yang amat bertentangan dengan nilai-nilai kehidupan manusia. Lebih dahsyat lagi baru-baru ini, terdapat aliran di Amerika Syarikat yang mahu menghalalkan hubungan homoseksual di kalangan tentera.


Di negara kita, walaupun gejala tersebut tidaklah seserius seperti mana yang berlaku di barat, tetapi bibit-bibitnya mula nyata apabila berlakunya pelacuran di kalangan kanak-kanak, menularnya gejala AIDS, penagihan dadah yang semakin meningkat, penderaan kanak-kanak, jenayah kolar putih yang bertambah serius dan lain-lain lagi. Semua gejala keruntuhan moral seperti ini dianggap oleh Roger Garaudy, seorang sarjana barat, sebagai sedang menuju kepada pembunuhan diri sendiri dan menimbulkan rasa cemas tentang keupayaan manusia moden mengendalikan masa depan dunia. Dalam kata lain, semakin maju teknologi yang dihasilkan oleh manusia semakin luntur dan rendah moral mereka. Apa yang kita mahu ialah biarlah kemajuan teknologi bergerak seiring dengan kemajuan moral yang positif yang amat digalakkan oleh Islam.


Keruntuhan moral yang berlaku kini amat bertentangan dengan Islam. Banyak ayat al-Quran yang melarang keras berhubung dengan tingkahlaku-tingkahlaku tidak bermoral ini seperti mengharamkan arak dan judi (al-Baqarah: 219, an-Nas: 43, al-Maidah: 93-94), larangan berzina (Mukminun: 5-7, an-Nur: 30-33) dan sebagainya yang tergolong dalam dosa-dosa besar.


Larangan ini adalah bertujuan untuk memperbaiki mental dan spiritual manusia sebagaimana ia membentuk keperibadian seorang manusia baik dari segi moral mahupun material. Tindakan ini bukannya sewenang-wenang diturunkan oleh Allah s.w.t sebaliknya hal ini merupakan petanda bagi adanya perhatian Allah terhadap kewujudan kesejahteraan manusia dan merupakan petunjuk yang jelas tentang tanggungjawab dan kasih sayang Allah kepada manusia.


Bila Allah s.w.t melarang sesuatu perkara, bukanlah bermakna Allah ingin menghalang manusia untuk mendapatkan hal-hal yang baik dan berguna baginya. Tetapi, larangan itu diadakan kerana Dia ingin melindungi manusia dan menegakkan kebaikan, sebagai satu usaha pembersihan jasmani dan rohani manusia yang menunjukkan bagaimana tingginya ajaran Allah terhadap moral yang tinggi dan terpuji kepada manusia. Untuk mendapatkan semua ini, segala kebaikan hendaklah selalu diteliti dan didapatkan dalam akal fikiran, jiwa, jasmani, kesihatan, kekayaan, moral dan sebagainya. Larangan itu bukanlah bertujuan untuk memudaratkan hidup manusia melainkan memperkayakannya, bukan bererti penindasan tetapi pendisplinan, bukan bermaksud membataskan tetapi memberi kelonggaran.


Dalam menangani permasalahan ini, Islam mempunyai kaedah yang pelbagai, jangkauannya amat jauh dan lengkap. Moral manusia bergantung pada hubungan antara manusia dengan Allah, manusia dengan manusia lain, manusia dengan elemen-elemen lain dari semua makhluk di alam semesta dan antara manusia dengan dirinya sendiri. Manusia haruslah menjaga tabiat dan tindakan-tindakannya, ucapan dan pemikiran, perasaan dan perhatiannya. Secara umum, jalan lurus yang patut ditempuhnya adalah mengamalkan kebenaran dan menentang kekejaman, mencari kebenaran dan menjauhi kesalahan, mencipata keindahan dan menghindari keburukan. Ini hendaklah didasari dengan prinsip-prinsip moral yang telah digariskan oleh Hammudah Abdalati supaya manusia menyakini :

i) Allah adalah pencipta dan sumber segala kebaikan, kebenaran dan keindahan

ii) Manusia adalah makhluk yang diberi tanggungjawab sebagai khalifah yang penuh kemuliaan dan keagungan dari penciptaNya.

iii) Allah telah menjadikan yang ada di langit dan di bumi hanyalah untuk mencukupi kehendak manusia

iv) Dengan kasih sayang dan kebijaksanaanNya, Allah tidak akan menyuruh manusia melakukan apa-apa yang tidak mungkin dilakukannya dan sebaliknya Allah tidak melarang manusia untuk menikmati hidup ini.

v) Sikap lunak dan praktik serta seimbang merupakan jaminan yang tinggi bagi ketulusan hati dan moral

vi) Segala sesuatu pada prinsipnya boleh dikerjakan dengan berpegang pada ketentuan yang wajib dengan harus dikerjakan dan yang dilarang harus ditinggalkan.

vii) Manusia dituntut untuk bertanggungjawab kepada Allah s.w.t dan tujuannya yang paling tinggi adalah keredhaanNya.


Untuk mencapai kefahaman yang sebenarnya bukanlah suatu perkara yang mudah sekiranya anak-anak tidak diberi pendidikan yang sewajarnya. Justeru itu, pendidikan sepatutnya memainkan peranan penting agar generasi yang berperadaban tinggi dapat dilahirkan.


Pendidikan bermula dari rumah. Ibubapalah yang bakal membentuk seseorang anak itu sama ada akan menjadi manusia yang berguna ataupun sebaliknya. Hadis Rasulullah s.a.w banyak mengingatkan kita betapa besarnya peranan ibubapa dalam mencorakkan kehidupan anak-anaknya. Namun demikian, ibubapa sibuk dengan urusan di luar rumah. Anak-anak dibiarkan di bawah jagaan pembantu rumah. Pembantu rumah yang rata-rata mempunyai tahap pemikirannya yang agak rendah, tidak dapat memberikan pendidikan yang sempurna. Ini boleh memberikan implikasi yang negatif kepada perkembangan mental anak-anak.


Selain dari itu, anak-anak dibiarkan berkeliaran tanpa kawalan dan belaian kasih sayang. Mereka banyak menghabiskan masa di hadapan kaca televisyen yang banyak memaparkan program-program yang tidak sihat seperti keganasan, perkosaan, pelacuran, hiburan dan lain-lain lagi. Jarang sekali kita lihat media elektronik tersebut menayangkan program-program yang boleh membentuk keperibadian insan yang bermoral dan bermaruah. Anak-anak yang lebih cenderung kepada tabiat meniru mudah terpengaruh kepada gejala-gejala yang tidak sihat.


Idea untuk mendapatkan antena parabola yang membolehkan kita mendapat siaran televisyen terus-menerus dari seluruh dunia tanpa tapisan dan halangan sudah tentu menambahkan lagi keruwetan gejala keruntuhan moral ini. Mungkin sebagai altenatifnya, rangkaian siaran televisyen perlu diperbanyakkan untuk memenuhi kekosongan jiwa anak-anak muda terutama pengisian yang bersifat kerohanian yang dapat mendidik manusia menjadi manusia yang patuh kepada ajaran agama.


Secara umum, semua agama, sama ada Islam, Kristian, Buddha, Taoism, Hindu dan lain-lain lagi mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Dalam Islam, pendidikan agama memang tidak boleh dipisahkan. Pendidikan agama merupakan asas kepada pembentukan individu Muslim.


Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam menegaskan betapa pentingnya anak-anak itu dibesarkan atas dasar iman kepada Allah, dididik atas dasar takut kepada Allah, sentiasa menjaga diri, menggantung diri dan memohon pertolongan hanya kepada Allah serta menyerahkan segalanya kepada Allah. Dengan ini secara automatik akan tumbuh di dalam dirinya suatu bakat semulajadi untuk menerima segala budi luhur yang tinggi serta terbiasa dengan berbagai-bagai akhlak dan kelakuan mulia lagi suci. Ia boleh menjadi benteng anak-anak dari melakukan perbuatan yang buruk. Rasulullah s.a.w sebagai satu-satunya contoh bagi kaum Muslimin dengan jelas telah menggariskan sistem akhlak yang patut diikuti.


Sarjana-sarjana bukan Muslim ada juga menekankan tentang perkara yang sama. Kent, seorang ahli falsafah, pernah berkata tidak akan wujud akhlak tanpa tiga kepercayaan berikut iaitu kepercayaan kepada tuhan, keabadian roh serta penghisaban sesudah mati. Pachtah, ahli falsafah Jerman juga menukilkan, akhlak tanpa agama adalah sia-sia. Mahatma Ghandi dan Dink (seorang Hakim Inggeris) menyokong hujah di atas dengan mengatakan, tanpa agama, tidak mungkin wujud akhlak pada diri seseorang. Kedua-duanya bersatu, tidak boleh dipisahkan.


Agama adalah satu-satunya sumber murni yang daripadanya dapat dibezakan yang baik perilakunya dan yang buruk. Agama juga adalah satu-satunya faktor yang dapat mengikat manusia dengan contoh teladan yang dapat memikat hati. Agama adalah penawar yang dapat membendung keegoan seseorang serta dapat menyekat nafsu yang buas.


Namun, cita-cita para pendokong agama tersebut tidak lagi menjadi realiti pada masa kini. Manusia mula membelakangkan atau meninggalkan agama. Agama dianggap sebagai perkara yang enteng. Fahaman komunis dan Atheis menganggap agama sebagai candu masyarakat. Kini, mahu tidak mahu kita terpaksa menerima hakikat bahawa generasi hari ini mula diresapi oleh unsur-unsur seperti ini dengan menganggap agama sudah tidak penting lagi. Agama dilihat sebagai menyekat mereka daripada melakukan perkara-perkara yang disukai atau menjadi kegemarannya. Sekiranya keinginan atau kegemarannya itu bercanggah dengan agama, maka di kala itu agama dipersalahkan, bukan dirinya. Agama dianggap sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman, kuno dan bersifat konservatif serta tidak moderat. Agama hanyalah warisan tinggalan nenek moyang mereka. Agama hanya diambil kira ketika mahu melaksanakan upacara perkahwinan, nikah, cerai, solat, haji dan puasa. Natijahnya, lahirlah generasi yang cair sifatnya dan meletakkan agama hanya di pinggiran dan bukan sebagai pegangan dan panduan hidup.


Generasi hari ini perlu diberi kesedaran akan keperluan kepada agama sebagai teras kepada pendidikan moral. Inilah yang membezakan antara pendidikan moral dalam Islam berbanding dengan agama-agama lain. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna. Mereka adalah orang yang pertama sekali yang akan disoal oleh Allah di akhirat kelak ke atas perlakuan anak-anaknya.


Dalam satu kisah, disebutkan telah datang seorang kepada Khalifah Umar b. al-Khattab mengadu penderhakaan anaknya. Maka Umar pun memanggil anak itu, lalu memarahinya.

Maka berkata si anak. "Wahai Amirul Mukminim! Tidakkah ada hak-hak anak ke atas ayahnya?"

Umar menjawab, "Ya, memang ada!"

Anak itu pun bertanya, "Apa dia, wahai Amirul Muknimin?"

Lalu Umar menjawab, "Hendaklah ia memilih ibu si anak (dari keturunan yang baik) dan memberikan nama yang baik dan mengajarnya membaca al-Quran."

Lalu berkata si anak itu, "Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya ayah saya tidak melakukan sesuatu pun dari yang demikian itu. Adapun ibu saya, dia adalah seorang zanjiyah (bekas hamba hitam) dahulunya isteri kepada seorang Majusi dan dia telah menamakan saya Jo'ul (lipas) dan dia belum mengajarkan saya satu huruf pun dari al-Quran."

Mendengar kata-kata anak itu, maka Umar pun berkata kepada ayah anak itu, "Engkau datang kepadaku mengadukan penderhakaan anakmu, sebenarnya engkau telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu dan engkau telah merosakkannya sebelum dia merosakkanmu".


Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya,

"Tiada suatu pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada budi pekerti yang baik"(Riwayat Ibnu Majah)


Dalam Hadis lain Baginda s.a.w bersabda bermaksud,

"Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara iaitu mengasihi Nabi kamu dan mengasihi ahli baitnya (keluarganya) serta membaca al-Quran. Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa membaca al-Quran berteduh di naungan Arasy pada hari tiada teduhan lain, melainkan teduhan Allah sahaja"(Riwayat Ath-Thabarani)


Prinsip-prinsip moral dalam Islam seperti yang dibincangkan adalah sihat, sangat luas pengertiannya. Tidak ada yang dapat membandingkannya. Ia sesuai dengan segala waktu dan tempat. Kebaikan yang telah mendapat jaminan Allah s.w.t; Allah mendatangkan kebahagiaan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Hal itu diperjelaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran dan Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya sebagai sumber dari segala kebaikan dan moral dalam membina kualiti ummah.

No comments:

Post a Comment