Friday, October 9, 2009

LARANGAN BERPRASANGKA DALAM ISLAM

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Kehidupan manusia di dunia ini berbeza-beza. Ada yang kaya, ada yang miskin. Ada di antara mereka terpaksa berlumba-lumba untuk mendapat kesenangan hidup. Ada yang dapat hidup senang tanpa berbuat apa-apa. Ada yang berusaha bersungguh tetapi tidak mendapat ganjaran yang setimpal dan sebaliknya. Ada yang cerdik dan tidak kurang pula yang kurang cerdik dan sebagainya. Akibat daripada situasi sebegini, maka wujud perasaan tidak puas hati termasuk prasangka.


Sebagai manusia, sifat prasangka ini memang tidak dapat dielakkan sama ada disedari ataupun tidak, cuma kita berupaya untuk mengurangkannya supaya tidak sampai ke tahap yang membahayakan. Misalnya, orang berada akan berprasangka kepada orang yang miskin, orang yang berkulit hitam berprasangka kepada orang berkulit putih, parti ini berprasangka kepada parti itu dan parti itu berprasangka kepada parti ini dan sebagainya. Akhirnya akibat daripada perasaan prasangka yang berpanjangan, masyarakat menjadi kucar-kacir dan negara menjadi tidak stabil.


Prasangka adalah satu sikap yang negatif terhadap individu atau kelompok disebabkan oleh beberapa perbezaan ciri-ciri seperti ras, agama, pekerjaan, jantina dan kelas. Prasangka biasanya akan membentuk "prejudgement" iaitu penilaian yang dibuat terlebih dahulu sebelum meninjau kepada fakta-fakta yang sahih. Jadi, apa yang nampak baik dan bagus pada lahirnya, sengaja difahamkan dengan keadaan yang sebaliknya. Sikap ini tidak berubah walaupun individu itu terdedah dan dicabar oleh pengetahuan dan bukti-bukti baru.


Prasangka yang berlebihan akan membawa kepada diskriminasi dan perasaan hasad dengki. Apa orang lain buat semuanya salah, dia yang berprasangka sahaja yang betul.


Kisah Lukman Al-Hakim, anaknya dan seekor kaldai sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita. Ianya bermula apabila sibapa mempelawa anaknya menaiki kaldai dan bapanya pula berjalan kaki bersama-sama kaldai. Apabila bila masuk ke satu kampung, orang kampung berprasangka dan mengejek sianak kerana membiarkan bapanya berjalankan kaki sedangkan sepatutnya bapa yang menaiki kaldai. Sianak mengiyakan ejekan itu dan menyuruh bapanya menaiki kaldai tersebut. Keadaan yang sama berlaku bila mereka masuk ke kampung yang lain, orang kampung berprasangka dan mengejek sibapa kerana membiarkan sianak berjalan. Selepas itu, kedua-dua beranak ini berjalan kaki bersama-sama kaldai tanpa menaikinya dan masuk ke kampung yang lain. Mereka sekali lagi dikatakan bodoh kerana tidak menunggang kaldai tersebut. Maka kedua-dua beranak itupun menaiki kaldai dan masuk ke satu kampung. Mereka seterusnya menerima lagi ejekan kerana dikatakan tidak berhati perut kerana bersikap zalim terhadap kaldai itu. Akhirnya, setelah memikirkan celaan itu, merekapun memikul kaldai itu supaya ia dapat berehat. Sekali lagi mereka dikatakan bertindak bodoh kerana tidak menunggang kaldai tersebut. Pendek kata apa yang cuba dibuat untuk memperbaiki keadaan semuanya salah belaka.


Inilah sikap prasangka yang sepatutnya dihindarkan. Sebelum berprasangka sedemikian rupa, mereka sepatutnya cuba bertanya, cuba mendekati dan cuba menyelidiki sesuatu itu sebelum sesuatu kenyataan itu dikeluarkan terhadap seseorang. Ini bertujuan supaya tidak ada salah tanggap atau prasangka berlaku.


Prasangka buruk adalah sifat yang tercela. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda:

"Dua perkara, tidak sesuatupun lebih utama daripadanya, iaitu: Berprasangka baik terhadap Allah, dan berprasangka baik terhadap hamba-hamba Allah. Dan dua perkara lagi, tidak sesuatupun lebih buruk daripadanya, iaitu: Berprasangka buruk terhadap Allah, dan berprasangka buruk terhadap hamba-hamba Allah"


Sikap berprasangka buruk amat merugikan. Ini sudah pasti akan menggagalkan usaha membentuk masyarakat penyayang yang dicita-citakan.


Walaupun prasangka tidak dapat dipisahkan dalam diri manusia, tetapi kita boleh mengurangkannya melalui beberapa amalan positif. Islam menganjurkan supaya kita sentiasa bersangka baik sekalipun terdapat keburukan pada seseorang itu atau mungkin terhadap musuh kita. Sangkaan baik ini amat penting sekali untuk mengelakkan salah faham dan ketegangan daripada berlaku. Lebih-lebih lagi prasangka dalam politik.


Prasangka sepatutnya tidak wujud sebelum sesuatu fakta dikemukakan. Walau bagaimanapun ia tidak berlaku dalam masyarakat kita. Kita lebih sedia membuat sangkaan buruk terlebih dahulu sebelum hukuman dijatuhkan oleh pihak yang berwajib. Apa sahaja yang cuba dibuat oleh sesebuah parti itu semuanya dikatakan tidak betul dan tidak Islamik. Ia mungkin disebabkan oleh perbezaan fahaman dan dendam yang tidak berkesudahan. Misalnya, dalam pilihanraya baru-baru ini, kita hendaklah menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka dan mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya. Dan bukannya dengan berprasangka yang bukan-bukan.


Tidak kurang pula prasangka barat terhadap Islam. Semua kegiatan akan dikaitkan dengan perbuatan orang Islam. Misalnya, letupan di Oklahoma baru-baru ini. Ada pihak barat yang mendakwa ianya dilakukan oleh golongan fundalmentalis Islam walaupun belum ada bukti-bukti kukuh dikemukakan tetapi disebabkan perasaan permusuhan dan dendam, maka orang Islam sahaja dipersalah. Sedangkan yang melakukannya ternyata bukan daripada kalangan orang Islam.


Satu lagi contoh yang agak ketara ialah prasangka orang barat berkulit putih terhadap mereka yang berkulit hitam. Apa sahaja orang kulit hitam lakukan semuanya salah. Kalau berlaku sesuatu rusuhan walaupun ia dicetuskan oleh orang kulit putih tetapi orang kulit hitam tetap disalahkan. Lebih dahsyat lagi ia terus menimbulkan diskriminasi yang tidak berkesudahan. Ada di antara kulit hitam yang ditangkap, disiksa dan dibunuh. Diskriminasi bermakna layanan yang berbeza-beza terhadap individu atau kumpulan atas dasar-dasar tertentu seperti ras, kebudayaan, jantina, agama kelas dan sebagainya. Dasar-dasar ini biasanya tidak berkaitan dengan kebolehan atau tingkah laku individu.


Menurut Encyclopedia International, konsep diskriminasi membawa konotasi bahawa seseorang atau segolongan masyarakat menerima atau menikmati sesuatu keistimewaan secara melampau, sementara golongan yang lain meskipun memperolehi kelayakan yang sama, sebaliknya menerima balasan yang tidak adil. Jack Levin mengatakan bahawa diskriminasi adalah merujuk kepada layanan yang berbeza atau tidak sama rata terhadap kumpulan atau individu berasaskan keanggotaan mereka dalam kumpulan tersebut lebih daripada berasaskan kepada kualiti-kualiti kebolehan individu.


Misalnya, dalam sesebuah organisasi, pihak atasan yang menerajui mestilah menghindarkan prasangka terhadap golongan bawahan. Masalah mungkin timbul bila mana pihak atasan mengenepikan sebahagian mereka yang berkebolehan disebabkan mungkin golongan ini tidak sealiran dengan pemikirannya atau yang tidak disukainya walaupun mereka ini benar-benar ikhlas dan terbukti bagus serta berkualiti.


Sikap seperti ini sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan mewujudkan huru-hara dalam masyarakat dan negara.


Islam tidak sekali-kali membenarkan sikap prasangka terhadap sesuatu itu tanpa adanya bukti-bukti yang sahih. Kalau adapun bukti-bukti yang sahih, Islam masih melarang untuk memperkatakan sesuatu yang benar itu kerana ia mungkin melibatkan keaiban seseorang itu yang boleh menjatuhkan maruahnya.


Prasangka tidak boleh berlaku walaupun jua keadaan sekalipun. Dalam Islam, orang kulit putih tidak boleh berprasangka kepada kulit hitam atau sebaliknya, orang Islam tidak boleh berprasangka kepada orang bukan Islam dan sebagainya. Pendek kata, Islam mahukan kita sentiasa bersangka baik antara satu sama lain tidak kira darjat, keturunan, warna kulit dan sebagainya.


Seperti yang pernah dikatakan oleh Hamka, orang yang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu.


Pernah terjadi seorang lelaki meminta izin untuk datang ke rumah Rasulullah. Rasulullah diberitahu bahawa orang itu lelaki itu bukanlah orang yang baik. Apabila lelaki itu datang, Rasulullah tetap melayannya dengan baik dan bercakap dengan lemah lembut dan beradab. Aishah, isteri baginda terkejut melihat perlakuan Baginda dan bertanya kepada Rasulullah. Baginda menjawab bahawa manusia yang paling buruk di sisi Allah ialah orang yang enggan bertemu dengan orang lain hanya disebabkan tutur katanya yang kotor dan biadab.


Rasulullah juga pernah ditanya oleh seorang badwi iaitu "aku mahu menjadi orang yang paling baik". Baginda menjawab: "berbuat baiklah kepada orang lain, nescaya kamu akan menjadi orang yang paling baik".


Justeru itu, amatlah penting sekali kita sentiasa bersangka baik terhadap seseorang. Kalaupun mungkin prasangka buruk terdetik di hati, cuba cepat-cepat memadamkannya. Kalau ternyata seseorang itu baik dan berkualiti, cuba amalkan sikap untuk mengikhtiraf atau mengakui akan kelebihan orang lain. Kalaupun seseorang itu mungkin lebih kaya atau lebih baik daripada kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan bukannya dengan berprasangka yang boleh membawa kepada unsur-unsur fitnah dan berbagai lagi implikasi negatif seperti diskriminasi.

No comments:

Post a Comment